Beri aku seribu orang tua yang bersemangat….Aku bersama mereka akan dapat memindahkan Gunung Semeru. Tapi berilah aku sepuluh orang pemuda yang semangatnya berapi-api kepada tanah airnya…Aku bersama mereka akan dapat mengguncang dunia”
Saturday, November 14, 2009
Maktab Jemaah Haji Muassasah dan Pakej THTS
Maktab 74 : Inter Continental Dar Tauhid (Pakej THTS) = 20 meter
Maktab 74 : Zam Zam Grand (Pakej THTS) = 30 meter
Maktab 74 : Marwa (Pakej THTS) = 220 meter
Maktab 74 : Firdous Palace (Pakej THTS) = 200 meter
Maktab 74 : Firdous Tower (Pakej THTS) = 250 meter
Maktab 74 : Durra (Pakej THTS) = 200 meter
Maktab 75, 76 dan 77 : Janadriah = 750 meter
Maktab 77 dan 78 : Dar Ghazzah = 450 meter
Maktab 77, 79 dan 83 : Marwa an-Naga = 550 meter
Maktab 78 : Seif al-Yamani = 750 meter
Maktab 79 : Dar Janadriah = 800 meter
Maktab 80 : Abraj Khazindar = 750 meter
Maktab 80 : Hassan Khazindar = 750 meter
Maktab 80, 81 dan 82 : Burj Abbas = 800 meter
Maktab 82 : Durrah al-Quds = 750 meter
Maktab 82 : Elaf Suds = 750 meter
Maktab 83 : Ghandurah = 650 meter
Abraj al-Bait
Bangunan tersebut yang dikenali sebagai Abraj al-Bait merupakan sebahagian daripada projek wakaf Raja Abdul Aziz, yang baginda niatkan segala keuntungan jual beli atau sewanya diserahkan untuk pembangunan Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.
Kontrak pembinaan Abraj al-Bait ini telah diserahkan kepada syarikat Saudi Binladin Group yang sebelum ini telah menunjukkan prestasi cemerlang dalam menjayakan projek menaiktaraf serta perluasan Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.
Rangkaian kompleks tertinggi sehingga mencapai 76 tingkat ini - yang kos pembinaannya menelan belanja USD 3 billion - telah meraih beberapa rekod iaitu :
1. Jam terbesar di dunia (4.7 kali lebih besar dari Big Ben). Boleh dilihat sejauh 17 km pada waktu malam dan 11 km pada waktu siang.
2. Bangunan tertinggi di Arab Saudi.
3. Menara kedua tertinggi di dunia (595 meter / 1,952 kaki).
4. Hotel tertinggi dan terbesar di dunia.
Kompleks ini dinamakan Abraj (rangkaian menara) kerana ianya mengandungi 7 buah menara iaitu :
1. Menara Hotel : 595 m / 1,952 kaki (76 tingkat)
2. Menara Hajar : 260 m / 853 kaki (48 tingkat)
3. Menara Zam Zam : 260 m / 853 kaki (48 tingkat)
4. Menara Maqam : 250 m / 820 kaki (45 tingkat)
5. Menara Qiblat : 250 m / 820 kaki (45 tingkat)
6. Menara Marwa : 240 m / 787 kaki (42 tingkat)
7. Menara Safa : 240 m / 787 kaki (42 tingkat)
Di menara-menara tersebut, terdapatnya beberapa rangkaian hotel mewah seperti Menara Zam Zam yang diisi oleh gergasi hotel Perancis terkenal iaitu Sofitel, dan Menara Hajar yang menempatkan Hotel Movenpick. Sebuah 'surau' yang berimamkan Imam Masjidil Haram secara live audio juga telah didirikan yang boleh memuatkan 10,000 jemaah pada satu-satu masa. Selain itu, 4 tingkat pusat membeli belah serta kemudahan parking untuk ribuan kenderaan turut disediakan.
Makkah Clock Tower Royal Hotel
Hotel terbesar dan termewah bertaraf 7 bintang yang menjadi sebahagian dari penghuni 7 menara Kompleks Abraj al-Bait adalah Makkah Clock Tower Royal Hotel. Ia merupakan hotel yang luar biasa lengkap dengan kemudahan serba mewah seperti khidmat butler 24 jam, ball-room yang boleh memuatkan 1500 orang, gymnasim tercanggih, pusat kecantikan, salon dandanan, spa, 11 buah restoran pelbagai masakan dunia dan yang paling istimewa ialah 'bilik coklat' yang merupakan butik coklat mewah yang dikendalikan oleh seorang chef bagi mengadun coklat mengikut citarasa pelanggan.
Makkah Clock Tower Royal Hotel diuruskan oleh rangkaian Fairmont Hotels. Untuk rekod, Fairmont Hotel merupakan anak syarikat kepada Fairmont Raffles Hotel International yang dimiliki oleh Putera al-Waleed bin Talal.
Dalam satu wawancara dengan Arabian Business, Mohammad Arkobi yang merupakan Pengurus Hotel berkata; Makkah Clock Tower Royal Hotel berada di tengah-tengah antara 7 kompleks menara dan terletak betul-betul bersetentang dengan Masjidil Haram.
Menurut beliau lagi, keluasan hotel menjangkau 1,500,000 kaki persegi (sama dengan keluasan Terminal 3 di Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai). Terdapat sebanyak 76 buah elevator serta 1,005 bilik penginapan dan suites disediakan. Ia juga mempunyai 5 tingkat Royal Floors dan 2 tingkat Golden Floors. Untuk rekod, memang telah menjadi identiti dan tradisi rangkaian Fairmont Hotels menyediakan tingkat ekslusif maha mewah seperti Fairmont Gold yang dianggap 'hotel dalam hotel'.
Tambah beliau, Golden Floors mempunyai ruang reception khas untuk daftar masuk serta lounge ekslusif. Adapun untuk Royal Floors - bersesuaian dengan namanya - bakal mendapat layanan seperti istana dengan bilik suitesnya sahaja ada yang berkeluasan 1,200 meter persegi dan ada yang 3,600 meter persegi.
Ketika ditanya wartawan oleh wartawan The Guardian, adakah kewujudan hotel maha mewah sebegini boleh mendidik jiwa jemaah haji yang menginap menjadi lebih tawadhuk, rendah diri dan rasa kehambaan kepada Allah? Mohammad Arkobi hanya terdiam dan tak mampu menjawab...
Pembersih Rumah Allah
SAR 350.00 sebulan : Gaji Pokok
SAR 29.00 sebulan : Elaun Perubatan
SAR 50.00 sebulan : Elaun Makan
TOTAL : SAR 529.00 sahaja sebulan.
Secara umumnya pekerja pembersihan masjid terbahagi kepada beberapa kategori :
1. Baju warna coklat : Penyelia (supervisor)
2. Baju warna hijau : Unit Air Zam Zam / interior
3. Baju warna putih : Unit Kemasan al-Quran
4. Baju warna biru : Unit Pembersihan
5. Jubah putih dengan vest coklat : Chief Supervisor
Jika dibuat perbandingan, di Masjid Nabawi pekerja unit Kemasan al-Quran adalah lebih glamour berbanding dengan pekerja unit lain. Mereka lazimnya dikenali dengan uniform berwarna putih. Lain-lain unit agak kurang menyerlah. Kebiasaannya tugas mereka menyusun mashaf (di rak al-Quran) sebanyak 5 naskhah setiap edisi sama ada mushaf Uthmani, mushaf Baghdadi, terjemahan Indonesia, Urdu dan lain-lain. Selain itu, mereka bertanggungjawab mengagih dan menyimpan mashaf untuk bacaan mengikut permintaan jemaah yang sedang duduk di saf. Tidak hairanlah jika pekerja unit ini saban hari berpeluang 'bermain' di sekitar Raudhah.
Di Masjidil Haram pula, unit yang paling glamour adalah Unit Pembersihan sama ada Pembersihan Dalaman (uniform hijau) atau Luaran Masjid (uniform biru). Setiap kali sebelum solat fardhu, 2 orang pekerja unit ini akan membersihkan Hajar Aswad, Multazam dan tempat solat imam. Sudah tentu apabila dimulakan solat, mereka akan berpeluang duduk di saf pertama.
Paling ketara selepas waktu Isya', pekerja unit ini akan membuat kepungan sekitar kawasan tumpuan dengan membina pagar manusia (sambil memegang pita merah) disekeliling tempat yang ingin dibersihkan. Saat inilah sekiranya sesiapa ingin tawaf dengan tenang tanpa bersesak, ikutlah laluan para pekerja unit ini yang akan turut 'tawaf' sambil menyapu sampah yang ada di dataran Ka'abah.
Di luar masjid iaitu di kawasan piazza, sekumpulan pekerja unit Pembersihan Luar juga sedang melakukan tugasan dengan kaedah yang sama. Namun tugasan mereka lebih mencabar kerana terpaksa berhadapan dengan orang ramai yang lalu lalang atau berbaring di piazza tersebut. Penggunaan alatan canggih seperti Haram Captor telah memudahkan tugas mereka.
Dalam satu temuramah wartawan Arab News dengan para pekerja Unit Pembersihan ini, banyak kisah lucu dan pelik yang dihadapi oleh mereka setiap hari. Bayangkan, ada dikalangan jemaah :
1. Bersalam, menggosok badan dan memeluk pekerja pembersihan untuk mengambil berkat
2. Mencuci muka dan badan dengan air cucian lantai Masjidil Haram untuk mengambil berkat
3. Mematahkan bahagian penyapu, berus atau mop lantai untuk dibawa pulang dan dijadikan barang berkat.
Burj Abbas

1. Lokasinya berhampiran 2nd Ring Road (Umar al-Khattab Road) yang merupakan lebuhraya ke Aziziah / Mina. Ini bererti jemaah Maktab 81 tidak perlu mengharungi kesesakan luar biasa kota Makkah untuk ke Arafah - Muzdalifah - Mina nanti.
2. Jalan ke masjid landai dan menempuh kedai-kedai yang pelbagai. Maktab lain terpaksa turun naik bukit dan menempuh lorong yang menyeramkan di celah-celah kedai. Bagi warga Maktab 81, dalam keasyikan menengok barang, sedar-sedar dah sampai depan Bin Dawood.

7.00 pagi hingga 12.00 tengahari
4.30 petang hingga 10.00 malam
Kecemasan : 24 jam
Pentadbiran
Rais Majmu'ah Muassasah Mutawify : Faiz Siraj Damanhuri
Pengurus : Hj. Mohyen bin Mosman
Pen. Pengurus : Hj. Mohd. Shuhaimi bin Ahmad
Guru Agama : Hj. Shihabudin Alang Mat Piah
Rokok di Tanah Suci
Bagi perokok, terlalu banyak cerita yang merisaukan tatkala berkira-kira untuk meneruskan tabiat itu di Tanah Suci. Ada yang bercerita kononnya pihak berkuasa Lapangan Terbang sama ada di Jeddah atau Madinah akan merampas semua rokok yang dibawa dari Malaysia. Ada juga yang mengatakan rokok tidak dijual langsung di mana-mana kedai di kedua-dua Tanah Suci itu.
Hakikatnya, ada yang benar dan ada yang separuh benar. Rokok sememangnya bahan larangan jualan, khususnya kedai-kedai yang berada dalam radius 6 km sekeliling kota Makkah dan Madinah. Mana-mana peniaga yang didapati menjual rokok, hukumannya amat berat. Denda SAR 10,000 dan kedai diperintahkan tutup selama sebulan. Justeru, penjual rokok secara terang-terangan di Makkah dan Madinah boleh dikatakan hampir tidak ada langsung. Minggu lalu sahaja, akhbar al-Madina melaporkan pihak berkuasa di al-Shouqa, Makkah telah berjaya merampas 600 karton rokok pelbagai jenama dijual di kedai-kedai.
Namun, penjualan secara 'kenyit mata', memang ada dimana-mana. Membeli rokok di Makkah dan Madinah samalah seperti membeli ganja di Malaysia. Terlalu sulit dan berhati-hati. Lebih banyak menggunakan komunikasi mata dan hati berbanding lisan. Di baqolah (kedai runcit) kecil khususnya, sebut saja rokok jenama apa. Jangan cuba mencari rokok di Bin Dawood, Safa Supermarket atau Marwa...Kena khutbah dek penjualnya nanti.
Nak tau kedai mana? Setiap hari di depan Maktab beratur panjang mutawif dan muzawir warga Indonesia yang berbaris mencari pelanggan jemaah haji Malaysia untuk upah haji, korban, aqiqah, jual sim kad Saudi dan tasbih koka. Kebanyakan mereka memang melekat dan tergantung Gudang Garam di bibir masing-masing. Tanya sajalah...Selain itu, pekerja Maktab yang terdiri dari orang Pakistan, India dan Bangladesh juga boleh menjadi penunjuk arah yang baik.
Di kedai runcit - selain rokok menthol - semua jenama rokok ada dijual termasuklah rokok keluaran Indonesia dan juga Cleopatra dari Mesir. Biasanya rokok disorok dalam kotak, dan kotak itupun duduk dalam kotak, dan kota itupun tersorok dalam sebuah kotak lagi. Harganya dalam lingkungan SAR 8.00 - SAR 11.00. Yang menggembirakan perokok Malaysia, kotak rokok Arab Saudi tidak ada gambar tekak berlubang, paru-paru hitam atau jari kaki hilang satu.
Merokok di Tanah Suci
Jika penjualan rokok tidak dibenarkan, lalu bagaimana dengan perokok? Bolehkah mereka merokok merata-rata? Hakikatnya, merokok paling tidak dibenarkan di kawasan Masjidil Haram dan Masjid Nabawi. Banyak iklan dan papan tanda yang melarang. Adapun bila keluar saja dari kawasan piazza masjid, maka ceritanya berbeza.
Di Starbuck Zam Zam Tower, food court al-Sofwah Tower, ruang santai Hilton Makkah (dekat food court)...Masya-Allah, macam lokomotif. Sepanjang tangga menuju Masjid Saidina Abu Bakar di Hilton juga tak terkecuali. Semua tempat yang dinyatakan tu, jaraknya hanya lingkungan 150 meter dari Pintu Besar Masjidil Haram. Bayangkan kalau di kawasan yang jaraknya jauh lagi seperti Misfalah, Ma'ala atau Ghazzah...Puuhh semangat. Ya, dalam masa umrah ada jemaah yang dimarah kerana merokok merata-rata, namun pada musim haji ianya tidak menjadi taboo lagi.
Perokok di Arab Saudi
Akhbar Arab News keluaran 2 Nov 2009 ada menyiarkan satu artikel menarik mengenai perokok di Arab Saudi. Dalam rangking world cigarettes consumers, Arab Saudi menduduki tangga ke-4 dunia. Ada seramai 6 juta perokok di Arab Saudi yang mana nilai import rokok mencecah SAR 13 billion setahun. Nisbah seorang perokok di Arab Saudi membelanjakan kira-kira SAR 8 billion setahun (2,000 bungkus setiap perokok), yang mengakibatkan 33 kematian setiap bulan berpunca dari rokok. Yang agak mengejutkan ialah, 10% perokok di Arab Saudi adalah wanita dan 19.3% adalah remaja.
Kesimpulan, peluang pergi haji merupakan ruang untuk berhenti tabiat merokok. Namun kalau salah cara pergaulan, mungkin semakin bertambah kuat merokok selepas balik haji nanti.
p.s : Tolong jangan merokok dalam bilik penginapan. Kesianlah kat roomates yang tidak merokok.
Friday, November 6, 2009
Labbaikallah
Kini dah ada seramai 1.5 juta manusia di kota Makkah al-Mukarramah. Mulai minggu depan, yang datang kebanyakannya kelompok haji Ifrad yang lazimnya terdiri dari orang-orang VVIP.
Saturday, September 5, 2009
Rotan Oh Rotan
Mantan Timbalan Perdana Menteri Rusia, Dr. Boris Efimovich Nemtsov mendedahkan bahawa Rusia telah kehilangan (mati) rakyatnya seramai 500,000 ke 750,000 orang akibat daripada masalah ketagihan arak. Bayangkan, sekitar 72 % kes pembunuhan yang berlaku di Rusia adalah berpunca ataupun berkait dengan akibat arak. Begitu juga kira-kira 42 % kes mati bunuh diri juga dikaitkan dengan masalah arak.Justeru, 3 orang saintis Rusia dari Institute of Hygiene in Novosibirsk yang dianggotai oleh Dr. Guerman Pilipenko (pakar Psikologi), Dr. Marina Chujrova (pakar Psikiatri) dan diketuai oleh Dr. Sergei V Speransky telah membuat satu kajian yang mendalam. Dr. Speransky merupakan pemegang Ph.D Biologi, pengkhususan dalam bidang Toxicology serta pakar dalam lapangan Parapsychology.
Pasukan beliau telah menemui satu dapatan bahawa hukuman rotan ke atas punggung tanpa berlapik adalah penawar menghilangkan ketagihan arak. Lebih menarik, kaedah merotan juga didapati mampu menyelesaikan pelbagai penyakit termasuklah tekanan perasaan.
"Caning releases endorphins, the body's natural 'happy chemicals', and that leads to feelings of euphoria, a reduction of appetite, the release of sex hormones and an enhancement of the immune response, and they have a similar effect on pain as drugs such as morphine and codeine, but do not lead to addiction or dependence"
Maksudnya : "Hukuman rotan merembeskan endorfin, bahan kimia semula jadi badan membuatkan seseorang menjadi gembira. Endorfin menjadi punca perasaan girang, mengurangkan selera, mengeluarkan hormon seks dan meningkatkan tindak balas kekebalan. Mereka berkata, kesakitan itu mempunyai kesan yang hampir sama dengan morfin dan candu tetapi ia tidak mendorong kepada ketagihan atau pergantungan.
Dr. Speransky mendakwa hukuman rotan seperti yang sering dilakukan di sekolah-sekolah Britain pada kurun sebelum ini telah terbukti berjaya membantu orang ramai mengatasi ketagihan atau tekanan. Menurut beliau, rawatan tersebut terbukti berkesan. "Ia tidak kejam sekurang-kurangnya itu adalah anggapan masyarakat lalu, tetapi saya menyokong hukuman itu", ujarnya lagi.
Dalam kajian tersebut, saintis Novosibirsk mencadangkan agar proses terapi rotan diadakan sebanyak 30 sesi membabitkan sebanyak 60 kali rotan ke atas punggung seseorang yang berbadan sederhana.
Dr. Marina Chujrova yang turut serta dalam menyediakan laporan itu menyatakan, beliau sudah pun mempunyai 10 pesakit yang menjalani terapi tersebut. "Pada mulanya mereka membantah tetapi apabila menyedari kebaikan tindakan itu, mereka pula yang meminta ia lakukan," katanya.
Pasukan perubatan Russia menyatakan mereka kini mengenakan caj untuk merotan pesakit dengan bayaran £57 (RM 342) bagi sesuatu rawatan biasa.
http://www.news-medical.net/news/2005/03/29/8788.aspx
Sememangnya jika dilihat dari sudut perundangan Islam, merotan pesalah yang minum arak sememangnya wujud. Dalam sebuah athar, Saidina Ali r.a berkata :
قال علي : جلد رسول الله في الخمر أربعين , وأبو بكر أربعين , وعمر ثمانين , وكل سنة وهذا أحب إليّ
Namun sesuatu yang perlu diberikan penjelasan, mengikut Fiqh Islam penentuan lokasi sasaran pukulan bukanlah semestinya hanya menumpukan kepada punggung semata-mata. Sedikit untuk dikongsikan :
Mazhab Syafi'e
Imam Syafi'e berpendapat pukulan hendaklah ditujukan ke pelbagai anggota, dan hendaklah menjauhi muka, faraj, rusuk dan semua anggota yang ditakuti. Dalil mereka ialah pesanan Saidina Ali r.a kepada kepada tukang sebat : "Pukul dia dan berilah setiap anggota haknya dan jauhi muka dan zakarnya."[2]
Begitu juga ada riwayat daripada Umar r.a bahawa beliau menemui seorang jariyah yang sedang dilakukan had ke atasnya; lalu beliau berkata : "Kamu pergilah kepadanya, pukullah dan janganlah sampai mengoyakkan kulitnya." Ini kerana maksud daripada hadd adalah menegah (jawazir) tanpa bertujuan untuk membunuh."[3]
Mazhab Hanafi
Wajib menurut ulama' Hanafi agar tidak menumpukan pukulan pada satu-satu tempat sahaja, kerana ianya boleh membawa kepada kerosakan anggota atau mengoyakkan kulitnya. Pukulan itu hendaklah ditujukan pada pelbagai tempat seperti di bahu, lengan, lutut, peha dan betis, dan hendaklah dijauhkan daripada tempat-tempat yang ditakuti boleh membunuh seperti muka, kepala, dada, perut, dan anggota kemaluan.[4]
Mazhab Maliki
Imam Malik pula berpendapat bahagian yang dipukul semasa dijalankan had ialah belakang badan dan anggota yang berdekatan dengannya.[5]
Mazhab Hanbali
Imam Ahmad pula berpendapat, boleh memukul pada semua anggota kecuali pada tiga tempat iaitu kepala, muka dan kemaluan daripada lelaki dan perempuan, kerana selain tiga tempat ini bukanlah tempat yang boleh membunuh, umpama yang boleh itu ialah bahagian belakang badan. Dalil mereka ialah perkataan Saidina Ali yang lalu kepada tukang sebat : "Pukullah, dan sakitilah tetapi jauhilah daripada kepala dan muka."[6].
[1] Sahih Muslim, no. 1707, jld. 11/216
[2] Al-Haitami kata gharib Marfu' ke atas Ali (ertinya Hadis Mauquf) Subulussalam IV/32
[3] Mughni al-Muhtaj IV/154, Al-Muhazzab II/270
[4] Al-Bada'iu VII/60, Fathul Qadir IV/126, Al-Muhazzab II/270
[5] Bidayatul Mujtahid II/429, Hasiah Ad-Dusuqi IV/354.
[6] Al-Mughni Ibn Qudamah II/287






