Saturday, November 14, 2009

Rokok di Tanah Suci

Hari ke-13 di Mekah, 14 hari lagi Wukuf (21 hari lagi nak balik Mesia...).

Bagi perokok, terlalu banyak cerita yang merisaukan tatkala berkira-kira untuk meneruskan tabiat itu di Tanah Suci. Ada yang bercerita kononnya pihak berkuasa Lapangan Terbang sama ada di Jeddah atau Madinah akan merampas semua rokok yang dibawa dari Malaysia. Ada juga yang mengatakan rokok tidak dijual langsung di mana-mana kedai di kedua-dua Tanah Suci itu.

Hakikatnya, ada yang benar dan ada yang separuh benar. Rokok sememangnya bahan larangan jualan, khususnya kedai-kedai yang berada dalam radius 6 km sekeliling kota Makkah dan Madinah. Mana-mana peniaga yang didapati menjual rokok, hukumannya amat berat. Denda SAR 10,000 dan kedai diperintahkan tutup selama sebulan. Justeru, penjual rokok secara terang-terangan di Makkah dan Madinah boleh dikatakan hampir tidak ada langsung. Minggu lalu sahaja, akhbar al-Madina melaporkan pihak berkuasa di al-Shouqa, Makkah telah berjaya merampas 600 karton rokok pelbagai jenama dijual di kedai-kedai.

Namun, penjualan secara 'kenyit mata', memang ada dimana-mana. Membeli rokok di Makkah dan Madinah samalah seperti membeli ganja di Malaysia. Terlalu sulit dan berhati-hati. Lebih banyak menggunakan komunikasi mata dan hati berbanding lisan. Di baqolah (kedai runcit) kecil khususnya, sebut saja rokok jenama apa. Jangan cuba mencari rokok di Bin Dawood, Safa Supermarket atau Marwa...Kena khutbah dek penjualnya nanti.

Nak tau kedai mana? Setiap hari di depan Maktab beratur panjang mutawif dan muzawir warga Indonesia yang berbaris mencari pelanggan jemaah haji Malaysia untuk upah haji, korban, aqiqah, jual sim kad Saudi dan tasbih koka. Kebanyakan mereka memang melekat dan tergantung Gudang Garam di bibir masing-masing. Tanya sajalah...Selain itu, pekerja Maktab yang terdiri dari orang Pakistan, India dan Bangladesh juga boleh menjadi penunjuk arah yang baik.

Di kedai runcit - selain rokok menthol - semua jenama rokok ada dijual termasuklah rokok keluaran Indonesia dan juga Cleopatra dari Mesir. Biasanya rokok disorok dalam kotak, dan kotak itupun duduk dalam kotak, dan kota itupun tersorok dalam sebuah kotak lagi. Harganya dalam lingkungan SAR 8.00 - SAR 11.00. Yang menggembirakan perokok Malaysia, kotak rokok Arab Saudi tidak ada gambar tekak berlubang, paru-paru hitam atau jari kaki hilang satu.

Merokok di Tanah Suci

Jika penjualan rokok tidak dibenarkan, lalu bagaimana dengan perokok? Bolehkah mereka merokok merata-rata? Hakikatnya, merokok paling tidak dibenarkan di kawasan Masjidil Haram dan Masjid Nabawi. Banyak iklan dan papan tanda yang melarang. Adapun bila keluar saja dari kawasan piazza masjid, maka ceritanya berbeza.

Di Starbuck Zam Zam Tower, food court al-Sofwah Tower, ruang santai Hilton Makkah (dekat food court)...Masya-Allah, macam lokomotif. Sepanjang tangga menuju Masjid Saidina Abu Bakar di Hilton juga tak terkecuali. Semua tempat yang dinyatakan tu, jaraknya hanya lingkungan 150 meter dari Pintu Besar Masjidil Haram. Bayangkan kalau di kawasan yang jaraknya jauh lagi seperti Misfalah, Ma'ala atau Ghazzah...Puuhh semangat. Ya, dalam masa umrah ada jemaah yang dimarah kerana merokok merata-rata, namun pada musim haji ianya tidak menjadi taboo lagi.

Perokok di Arab Saudi

Akhbar Arab News keluaran 2 Nov 2009 ada menyiarkan satu artikel menarik mengenai perokok di Arab Saudi. Dalam rangking world cigarettes consumers, Arab Saudi menduduki tangga ke-4 dunia. Ada seramai 6 juta perokok di Arab Saudi yang mana nilai import rokok mencecah SAR 13 billion setahun. Nisbah seorang perokok di Arab Saudi membelanjakan kira-kira SAR 8 billion setahun (2,000 bungkus setiap perokok), yang mengakibatkan 33 kematian setiap bulan berpunca dari rokok. Yang agak mengejutkan ialah, 10% perokok di Arab Saudi adalah wanita dan 19.3% adalah remaja.

Kesimpulan, peluang pergi haji merupakan ruang untuk berhenti tabiat merokok. Namun kalau salah cara pergaulan, mungkin semakin bertambah kuat merokok selepas balik haji nanti.

p.s : Tolong jangan merokok dalam bilik penginapan. Kesianlah kat roomates yang tidak merokok.

1 comment:

  1. Assalamualaikum ustaz, sy mengkagumi ustaz kerana ceramah ustaz yg disulami lawak intelectual yg nembawa audience berfikir. Namun sy agak terganggu dgn posting ustaz yg ni sbb secara langsung memberi tips2 cara nak mdptkn rokok di haramain. Bagi sy, cukuplah dgn unsur nasihat dan hakikat senario sebenar, tapi tak perlu lah diperincikan tips2nya sekali. Wallahualam. Maaf ye ustaz

    ReplyDelete