Saturday, November 14, 2009

Abraj al-Bait

Bagi sesiapa yang sudah lama tidak menziarahi Makkah, pasti terkejut tatkala terpandang rangkaian bangunan raksaksa berhampiran Hilton dan Dar Tauhid Makkah. Di situ tersergamnya rangkaian bangunan super mewah yang menenggelamkan seluruh bangunan sekitarnya termasuklah menara Masjidil Haram.

Bangunan tersebut yang dikenali sebagai Abraj al-Bait merupakan sebahagian daripada projek wakaf Raja Abdul Aziz, yang baginda niatkan segala keuntungan jual beli atau sewanya diserahkan untuk pembangunan Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.

Kontrak pembinaan Abraj al-Bait ini telah diserahkan kepada syarikat Saudi Binladin Group yang sebelum ini telah menunjukkan prestasi cemerlang dalam menjayakan projek menaiktaraf serta perluasan Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.

Rangkaian kompleks tertinggi sehingga mencapai 76 tingkat ini - yang kos pembinaannya menelan belanja USD 3 billion - telah meraih beberapa rekod iaitu :

1. Jam terbesar di dunia (4.7 kali lebih besar dari Big Ben). Boleh dilihat sejauh 17 km pada waktu malam dan 11 km pada waktu siang.

2. Bangunan tertinggi di Arab Saudi.

3. Menara kedua tertinggi di dunia (595 meter / 1,952 kaki).

4. Hotel tertinggi dan terbesar di dunia.

Kompleks ini dinamakan Abraj (rangkaian menara) kerana ianya mengandungi 7 buah menara iaitu :

1. Menara Hotel : 595 m / 1,952 kaki (76 tingkat)
2. Menara Hajar : 260 m / 853 kaki (48 tingkat)
3. Menara Zam Zam : 260 m / 853 kaki (48 tingkat)
4. Menara Maqam : 250 m / 820 kaki (45 tingkat)
5. Menara Qiblat : 250 m / 820 kaki (45 tingkat)
6. Menara Marwa : 240 m / 787 kaki (42 tingkat)
7. Menara Safa : 240 m / 787 kaki (42 tingkat)

Di menara-menara tersebut, terdapatnya beberapa rangkaian hotel mewah seperti Menara Zam Zam yang diisi oleh gergasi hotel Perancis terkenal iaitu Sofitel, dan Menara Hajar yang menempatkan Hotel Movenpick. Sebuah 'surau' yang berimamkan Imam Masjidil Haram secara live audio juga telah didirikan yang boleh memuatkan 10,000 jemaah pada satu-satu masa. Selain itu, 4 tingkat pusat membeli belah serta kemudahan parking untuk ribuan kenderaan turut disediakan.


Makkah Clock Tower Royal Hotel

Hotel terbesar dan termewah bertaraf 7 bintang yang menjadi sebahagian dari penghuni 7 menara Kompleks Abraj al-Bait adalah Makkah Clock Tower Royal Hotel. Ia merupakan hotel yang luar biasa lengkap dengan kemudahan serba mewah seperti khidmat butler 24 jam, ball-room yang boleh memuatkan 1500 orang, gymnasim tercanggih, pusat kecantikan, salon dandanan, spa, 11 buah restoran pelbagai masakan dunia dan yang paling istimewa ialah 'bilik coklat' yang merupakan butik coklat mewah yang dikendalikan oleh seorang chef bagi mengadun coklat mengikut citarasa pelanggan.

Makkah Clock Tower Royal Hotel diuruskan oleh rangkaian Fairmont Hotels. Untuk rekod, Fairmont Hotel merupakan anak syarikat kepada Fairmont Raffles Hotel International yang dimiliki oleh Putera al-Waleed bin Talal.

Dalam satu wawancara dengan Arabian Business, Mohammad Arkobi yang merupakan Pengurus Hotel berkata; Makkah Clock Tower Royal Hotel berada di tengah-tengah antara 7 kompleks menara dan terletak betul-betul bersetentang dengan Masjidil Haram.

Menurut beliau lagi, keluasan hotel menjangkau 1,500,000 kaki persegi (sama dengan keluasan Terminal 3 di Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai). Terdapat sebanyak 76 buah elevator serta 1,005 bilik penginapan dan suites disediakan. Ia juga mempunyai 5 tingkat Royal Floors dan 2 tingkat Golden Floors. Untuk rekod, memang telah menjadi identiti dan tradisi rangkaian Fairmont Hotels menyediakan tingkat ekslusif maha mewah seperti Fairmont Gold yang dianggap 'hotel dalam hotel'.

Tambah beliau, Golden Floors mempunyai ruang reception khas untuk daftar masuk serta lounge ekslusif. Adapun untuk Royal Floors - bersesuaian dengan namanya - bakal mendapat layanan seperti istana dengan bilik suitesnya sahaja ada yang berkeluasan 1,200 meter persegi dan ada yang 3,600 meter persegi.

Ketika ditanya wartawan oleh wartawan The Guardian, adakah kewujudan hotel maha mewah sebegini boleh mendidik jiwa jemaah haji yang menginap menjadi lebih tawadhuk, rendah diri dan rasa kehambaan kepada Allah? Mohammad Arkobi hanya terdiam dan tak mampu menjawab...

2 comments:

  1. jangan jadi macam dubai dah leee....hutang dah dekat RM3 trillion.Tu sapa nak bayar tuuuu.

    ReplyDelete
  2. Development di UAE umumnya dibuat oleh syarikat atau pelabur. Saudi ni lain skit. Raja dia sendiri yang invest untuk projek Abraj tu. Dari segi kewangan Insya-Allah takder masalah boohh. Rujuk http://www.forbes.com/2008/08/20/worlds-richest-royals-biz-richroyals08-cz_ts_0820royal_slide_4.html?thisSpeed=15000

    ReplyDelete