Showing posts with label My Dakwah. Show all posts
Showing posts with label My Dakwah. Show all posts

Thursday, November 18, 2010

Allahyarham Haji Mohd. Sabri bin Abd. Aziz

BiHari ini saya kehilangan seorang sahabat, rakan sekerja dan saudara yang begitu rapat dengan saya…Beliau adalah imam, tukang masak, tukang sembelih, kawan bersembang…Allahyarham Haji Mohd. Sabri bin Abd. Aziz, Pegawai Hal-Ehwal Islam Kanan S22 (Unit Penerbitan dan Multimedia) di Bahagian Dakwah Jabatan Agama Islam Pahang; telah kembali ke rahmatullah pada pagi tadi tatkala sedang menjalankan ibadah korban di Kuantan.

Saya berada di Kuala Lumpur tatkala menerima pesanan Black Berry Messenger daripada al-Fadhil Tuan Haji Bunyamin, Qadhi Jengka berkenaan pemergian Allahyarham. Terkejut…tergamam…

Kali terakhir saya menelefon arwah adalah pada Khamis, 11 November 2010 jam 6.25 pm. Ketika itu saya menelefonnya kerana ingin menawarkan diri menulis buku terbitan khas sempena Ma’al Hijrah tahun ini. Arwah tersangat gembira dengan tawaran saya tersebut memandangkan dia sendiri sudah buntu mencari idea bahan penulisan. Sejak itu saya menulis siang dan malam sebuah buku yang berkaitan dengan “Struktur Kewangan Zaman Rasulullah s.a.w” yang setakat malam ini mencecah 45 halaman.

Baru hari Isnin yang lalu (15 November) saya ke pejabat untuk berbincang dengan arwah berkenaan perkembangan buku terbitan khas tersebut beserta cadangan grafik Taqwim sempena Ma’al Hijrah yang bakal tiba. Saya bergurau dengan mencadangkan agar taqwim tahun hadapan diletakkan gambar-gambar kereta jenazah milik Jabatan Agama Islam Pahang agar lebih menarik.

Arwah dan saya memang dah lama kenal iaitu semenjak saya bersekolah menengah lagi. Tatkala beliau menjadi Imam di Masjid Makmur, Batu 10 Kuantan; saya sering diundang berceramah di sana. Begitu juga di surau berhampiran rumah beliau, saya sering diundang menyampaikan syarahan.

Ternyata malam ini sukar saya melelapkan mata. Moga Allah memberikan kekuatan kepada keluarga yang telah arwah tinggalkan…

al-Faatihah…

Wednesday, September 1, 2010

Ramadhan di Singapura

Baru-baru ini saya diundang ke Singapura oleh Jamiyah Islamiah bagi menyampaikan ceramah sempena Sambutan Nuzul Quran di Masjid Sultan, berhampiran North Bridge Road. Sememangnya Kota Singa ini menjadi destinasi kegemaran saya khususnya pada bulan Ramadhan. Ini kerana, kehangatan sambutan Ramadhan adalah jauh lebih meriah berbanding Malaysia yang lebih menumpukan kepada keghairahan menyambut Syawal. Jika kita ke masjid-masjid di Singapura, pengisian programnya amat padat dan unik. Di sana sini diadakan majlis ilmu, tadarus al-Quran dan perhimpunan jemaah yang sangat ramai jumlahnya. Tanpa sebarang dana dari Yang Berhormat atau Jabatan Agama, masyarakat Islam di Singapura tetap aktif mengadakan program hasil kutipan derma dan sumbangan orang ramai.

Juadah

Kemeriahan Ramadhan tidak boleh dipisahkan dari kewujudan pelbagai juadah yang jarang dilihat pada bulan lain. Singapura turut tidak terkecuali. Jika berkunjung ke Geylang Road, berderetan gerai dan premis yang menawarkan barangan ibadah dan juadah Ramadhan yang lazat dan unik. Menelusuri sepanjang Geylang termasuklah ke celah-celah Onan Road dan Joo Chiat Complex, saya sempat merakamkan beberapa juadah sempena Ramadhan yang begitu istimewa di Singapura.

1. Dendeng

Antara yang paling laris pada tahun 2010 ini ialah Daging Dendeng. Kalangan peniaga menyatakan makanan ini sebenarnya berasal dari Kuala Lumpur dan baru saja diperkenalkan di Kota Singa. Rasanya memang lazat dan sesuai dimakan dengan roti


Terdapat pilihan ayam dan daging, pedas dan biasa

2. Kentang Spring

Juadah ini adalah antara juadah unik yang saya temui di Singapura pada Ramadhan tahun ini. Kebetulan pada awal Ramadhan, saya ada terbaca tentang produk Kentang Spring yang sudah mula dijual di bazar-bazar Ramadhan sekitar Lembah Klang. Tak sangka akhirnya saya dapat melihat sendiri apa yang dikatakan sebagai Kentang Spring. Sememangnya sangat unik.


3. Murtabak Singapore


Murtabak keluaran Singapura memang sudah tidak dapat dinafikan kelazatannya. Jika berkunjung ke North Bridge Road, berhampiran dengan Masjid Sultan; kita boleh melihat 2 buah restoran yang begitu masyhur sekali dengan keenakan murtabaknya iaitu Restoran Singapore Zam Zam (est. 1908) dan Restoran New Victory (est. 1910).

Zam Zam (kiri) dan New Victory


Berhadapan Masjid Sultan

Tuesday, August 24, 2010

Terapi Ramadhan 14

Terapi malam Ramadhan 14 :

Malam ini ayuh kita bermanja dengan-Nya...

Pejamkan mata...Dengar...

Sesuai dihayati pada tengah malam, pasang ear phone...Dan biarkan air mata itu mengalir.

Masih sudikah Dia menerima cinta kita?

Selamat bermanja dengan-Nya...


Thursday, August 12, 2010

Making A Difference @ TV2

Pagi ni saya berkesempatan menonton rancangan motivasi bual bicara "Making A Difference" di saluran TV2. Rancangan ini bersiaran dari jam 6.00 - 6.30 pagi.

Apa yang menarik, hos rancangan ini merupakan tokoh yang tidak asing lagi iaitu ayahanda saya Dato' Dr. Hj. Mohd. Fadhilah Kamsah. Apa yang menarik perhatian saya berkenaan program ini :

1. 100% dalam bahasa Inggeris. Seperti yang semua maklum, 90% penceramah arus perdana di Malaysia tidak fasih berceramah dalam bahasa Inggeris secara full swing (bukan broken, rojak atau Manglish). Sebagai old timer, Dato' Fadhilah telah berjaya menjadi peneraju dalam hal ini.

2. Audien yang hadir dalam program ini terdiri dari berbilang bangsa, termasuk Melayu yang urban dan tidak bertudung. Secara peribadi, bukan mudah mendapatkan audien seperti ini dalam program-program ceramah. Sekalung tahniah kepada team penerbitan yang berjaya mencari audien yang unik sebegini.

3. Tetamu di studio adalah terdiri dari selebriti yang jarang tampil dalam rancangan bersifat ceramah. Dalam episod kali ini, aktor Jehan Miskin telah diundang bagi berkongsi pendapat berkenaan tips berbicara dengan lelaki. Saya fikir, mampukah selebriti sebegitu sudi tampil menjadi tetamu dalam program Sehiris Peria Secawan Madu, Semanis Kurma atau Halaqah? Sekali lagi sekalung tahniah kepada krew penerbitan.

Akhirnya, saya doakan program ini terus berjaya pada masa akan datang.

Monday, July 12, 2010

ESQ 165

Sejujurnya, saya pernah terlibat dalam pelatihan ESQ 165 di Grand Ballroom, Flamingo by The Lake di Ampang pada 13 - 15 Jun 2008. Sebagai ATS, saya melihat ada kebaikan dalam modul ESQ 165 ini khususnya dalam mengisi kelompongan dakwah yang ada khususnya kepada golongan ekspatriat dan konglomerat yang sering memandang sebelah mata kepada ceramah ustaz dan ustazah. Begitu ramai golongan bergelar "Tan Sri", "Dato' Seri", jurutera serta golongan profesional lain yang luluh air mata akibat diketuk pintu hati mereka melihat keagungan Allah dan pencarian diri menerusi penggunaan teknologi audio visual yang canggih.

Namun saya pernah menyuarakan pandangan kepada ESQ Malaysia agar sentiasa mengawasi modul ini agar di kemuncaknya kelak tidak menjadi pemuja (tanpa sedar) kepada pengasas ESQ. Berapa banyak modul sebelum ini yang begitu hebat, namun akhirnya tumbang dek kerana taksub dengan pengasas masing-masing. Saya melihat mereka begitu menerima nasihat ini.

Untuk sekian lama, saya tidak lagi mengikut pelatihan ESQ 165 dek kerana hambatan tugas. Sekadar memerhati dari jauh, saya melihat perkembangan mendadak ESQ 165. Hasil dari alumni dan bekas pesertanya yang terdiri dari tokoh pimpinan negara serta editor-editor akhbar, ESQ berjaya mendapat liputan yang amat luar biasa. Sementelah lagi, ada akhbar harian yang setiap hari memaparkan iklan serta liputan aktiviti ESQ 165.

Perkembangan ini benar-benar menarik perhatian saya. Ini kerana, sebagai ahli kepada Muslim Trainers and Motivators Association of Malaysia (TAMRIN) saya bercampur dan bergaul dengan ramai penceramah motivasi dan jurulatih kecerdasan yang 100% Made in Malaysia. Pendedahan luar biasa kepada modul yang "Made In Indonesia" pastilah sedikit sebanyak menimbulkan polemik.

Harapan saya, pihak ESQ 165 Malaysia perlu banyak bersabar dan tidak melatah. Saya percaya, hasil pelatihan selama ini, pastilah emosi kita telah berjaya dijinakkan seadanya.

ESQ 165 vs Modul Made in Malaysia

Sekarang, modul serta pendekatan kursus motivasi telah berkembang pesat. Pelbagai pendekatan yang kreatif, pelik dan kadang-kadang melucukan boleh kita temui setiap hari khususnya dalam iklan di dada-dada akhbar tabloid.

Namun kadang-kadang, ada antaranya yang menimbulkan persoalan di benak saya :

1. Penggunaan secara berleluasa gelaran "Dato", "Prof.", "Dr." oleh segelintir penceramah. Betul ker ada semua gelaran tu? Bukankah bila dah keluar dari universiti, secara automatik gelaran professorship seseorang itu akan ditarik balik? Jika dalam hal sebegini tidak boleh jujur, lalu kejujuran apa yang boleh diharapkan dari kata-katanya? Belum dikira soal penggunaan gelaran "Dr." yang diambil dari entah berantah...

2. Modul ceramah yang pelik, seperti mampu menyingkap masa depan dan potensi seseorang hanya berdasarkan tarikh tertentu, kedudukan tahi lalat, jenis tulisan, jenis darah, style tandatangan atau warna kegemaran. Selepas ini tidak mustahil akan muncul pula modul menggunakan sotong kurita, kucing Siam, ikan laga atau macam-macam jenis binatang "psikik" lain untuk menyingkap potensi masa depan kita.

3. Modul ceramah yang ekstrim, seperti menanamkan rasa cinta melampau dan luar biasa kepada harta dan wang. Ada kalangan peserta bercerita mereka diminta menjadikan kalimat sayang kepada wang sebagai "zikir" harian demi untuk menjadikan duit mudah datang kepada kita.

Mungkin selepas ESQ 165, jabatan fatwa tertentu akan melihat pula kepada pelatihan-pelatihan yang pelik serta ekstrim ini untuk difatwakan...

Monday, May 24, 2010

Cabaran Dakwah

Hari ini saya berpeluang menemui mahasiswa dan mahasiswi Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) dalam program Anjung Munakahat. Selesai majlis, ada peserta yang bertanya tentang apakah antara cabaran hebat menjadi pendakwah dan berdakwah? Santai saya menjawab, "antaranya, kena saman polis"....Ramai yang ketawa.

Dan ternyata, hari ini mulut saya masin. Padan muka...
Surat cinta bertarikh 24 Mei 2010, jam 4.48 petang

Saturday, September 5, 2009

Rotan Oh Rotan

Mantan Timbalan Perdana Menteri Rusia, Dr. Boris Efimovich Nemtsov mendedahkan bahawa Rusia telah kehilangan (mati) rakyatnya seramai 500,000 ke 750,000 orang akibat daripada masalah ketagihan arak. Bayangkan, sekitar 72 % kes pembunuhan yang berlaku di Rusia adalah berpunca ataupun berkait dengan akibat arak. Begitu juga kira-kira 42 % kes mati bunuh diri juga dikaitkan dengan masalah arak.

Justeru, 3 orang saintis Rusia dari Institute of Hygiene in Novosibirsk yang dianggotai oleh Dr. Guerman Pilipenko (pakar Psikologi), Dr. Marina Chujrova (pakar Psikiatri) dan diketuai oleh Dr. Sergei V Speransky telah membuat satu kajian yang mendalam. Dr. Speransky merupakan pemegang Ph.D Biologi, pengkhususan dalam bidang Toxicology serta pakar dalam lapangan Parapsychology.

Pasukan beliau telah menemui satu dapatan bahawa hukuman rotan ke atas punggung tanpa berlapik adalah penawar menghilangkan ketagihan arak. Lebih menarik, kaedah merotan juga didapati mampu menyelesaikan pelbagai penyakit termasuklah tekanan perasaan.

Akhbar Izvestia pada 26 Mac 2005 telah melaporkan kenyataan para saintis tersebut :

"Caning releases endorphins, the body's natural 'happy chemicals', and that leads to feelings of euphoria, a reduction of appetite, the release of sex hormones and an enhancement of the immune response, and they have a similar effect on pain as drugs such as morphine and codeine, but do not lead to addiction or dependence"

Maksudnya : "Hukuman rotan merembeskan endorfin, bahan kimia semula jadi badan membuatkan seseorang menjadi gembira. Endorfin menjadi punca perasaan girang, mengurangkan selera, mengeluarkan hormon seks dan meningkatkan tindak balas kekebalan. Mereka berkata, kesakitan itu mempunyai kesan yang hampir sama dengan morfin dan candu tetapi ia tidak mendorong kepada ketagihan atau pergantungan.

Dr. Speransky mendakwa hukuman rotan seperti yang sering dilakukan di sekolah-sekolah Britain pada kurun sebelum ini telah terbukti berjaya membantu orang ramai mengatasi ketagihan atau tekanan. Menurut beliau, rawatan tersebut terbukti berkesan. "Ia tidak kejam sekurang-kurangnya itu adalah anggapan masyarakat lalu, tetapi saya menyokong hukuman itu", ujarnya lagi.

Dalam kajian tersebut, saintis Novosibirsk mencadangkan agar proses terapi rotan diadakan sebanyak 30 sesi membabitkan sebanyak 60 kali rotan ke atas punggung seseorang yang berbadan sederhana.

Dr. Marina Chujrova yang turut serta dalam menyediakan laporan itu menyatakan, beliau sudah pun mempunyai 10 pesakit yang menjalani terapi tersebut. "Pada mulanya mereka membantah tetapi apabila menyedari kebaikan tindakan itu, mereka pula yang meminta ia lakukan," katanya.

Pasukan perubatan Russia menyatakan mereka kini mengenakan caj untuk merotan pesakit dengan bayaran £57 (RM 342) bagi sesuatu rawatan biasa.

http://www.news-medical.net/news/2005/03/29/8788.aspx

Sememangnya jika dilihat dari sudut perundangan Islam, merotan pesalah yang minum arak sememangnya wujud. Dalam sebuah athar, Saidina Ali r.a berkata :

قال علي : جلد رسول الله في الخمر أربعين , وأبو بكر أربعين , وعمر ثمانين , وكل سنة وهذا أحب إليّ

Maksudnya : "Rasulullah s.a.w menyebat peminum arak sebanyak 40 sebatan, Abu Bakar juga 40 sebatan, Umar menyebat 80 sebatan. Semuanya adalah sunnah, dan ini (merujuk kepada 40 sebatan) adalah lebih aku sukai." (Riwayat Muslim) [1]

Namun sesuatu yang perlu diberikan penjelasan, mengikut Fiqh Islam penentuan lokasi sasaran pukulan bukanlah semestinya hanya menumpukan kepada punggung semata-mata. Sedikit untuk dikongsikan :

Mazhab Syafi'e

Imam Syafi'e berpendapat pukulan hendaklah ditujukan ke pelbagai anggota, dan hendaklah menjauhi muka, faraj, rusuk dan semua anggota yang ditakuti. Dalil mereka ialah pesanan Saidina Ali r.a kepada kepada tukang sebat : "Pukul dia dan berilah setiap anggota haknya dan jauhi muka dan zakarnya."[2]

Begitu juga ada riwayat daripada Umar r.a bahawa beliau menemui seorang jariyah yang sedang dilakukan had ke atasnya; lalu beliau berkata : "Kamu pergilah kepadanya, pukullah dan janganlah sampai mengoyakkan kulitnya." Ini kerana maksud daripada hadd adalah menegah (jawazir) tanpa bertujuan untuk membunuh."[3]

Mazhab Hanafi

Wajib menurut ulama' Hanafi agar tidak menumpukan pukulan pada satu-satu tempat sahaja, kerana ianya boleh membawa kepada kerosakan anggota atau mengoyakkan kulitnya. Pukulan itu hendaklah ditujukan pada pelbagai tempat seperti di bahu, lengan, lutut, peha dan betis, dan hendaklah dijauhkan daripada tempat-tempat yang ditakuti boleh membunuh seperti muka, kepala, dada, perut, dan anggota kemaluan.[4]

Mazhab Maliki

Imam Malik pula berpendapat bahagian yang dipukul semasa dijalankan had ialah belakang badan dan anggota yang berdekatan dengannya.[5]

Mazhab Hanbali

Imam Ahmad pula berpendapat, boleh memukul pada semua anggota kecuali pada tiga tempat iaitu kepala, muka dan kemaluan daripada lelaki dan perempuan, kerana selain tiga tempat ini bukanlah tempat yang boleh membunuh, umpama yang boleh itu ialah bahagian belakang badan. Dalil mereka ialah perkataan Saidina Ali yang lalu kepada tukang sebat : "Pukullah, dan sakitilah tetapi jauhilah daripada kepala dan muka."[6].

[1] Sahih Muslim, no. 1707, jld. 11/216

[2] Al-Haitami kata gharib Marfu' ke atas Ali (ertinya Hadis Mauquf) Subulussalam IV/32

[3] Mughni al-Muhtaj IV/154, Al-Muhazzab II/270

[4] Al-Bada'iu VII/60, Fathul Qadir IV/126, Al-Muhazzab II/270

[5] Bidayatul Mujtahid II/429, Hasiah Ad-Dusuqi IV/354.

[6] Al-Mughni Ibn Qudamah II/287

Tuesday, August 4, 2009

Bulan Oh Bulan

Tahun ini merupakan sambutan ulang tahun ke-40 bagi pendaratan Apollo 11 ke Bulan pada 21 Julai 1969. Empat puluh tahun dulu, manusia pada kali pertama meninggalkan rumah kita iaitu bumi dan meneroka ke bulan.

Daripada tahun 1968 hingga 1972, angkasawan-angkasawan Apollo daripada Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa lepas Kebangsaan Amerika (NASA) menguji kapal angkasa yang baru dan menuju ke Bulan.

Semua ini bermula pada 25 Mei 1961, apabila Presiden John F. Kennedy mengumumkan tujuan menghantar angkasawan ke bulan sebelum penghujung dekad tersebut.

Selepas tiga minggu Angkasawan Mercury yang bernama Alan Shepard menjadi warga Amerika yang pertama di angkasa lepas, Kennedy telah mencabar kepada negara untuk menghantar angkasawan ke bulan.

Setelah lapan tahun, ribuan warga Amerika bertungkus-lumus dan telah membuahkan hasil iaitu pada 20 Julai 1969, apabila Komander Apollo 11 yang bernama Neil Armstrong telah melangkah keluar daripada Modul Bulan dan membawa langkah yang kecil di lautan Transquility, yang dipanggil satu loncatan yang besar untuk manusia

Enam misi --- Apollo Program 11, 12, 14, 15, 16 dan 17 -telah mendarat ke Bulan, mengkaji mekanik tanah, meteroid, gempa Bumi, aliran haba, julat Bulan, medan magnet dan angin suria.

Kapal Angkasa Apollo 7 dan 9 telah diuji di orbit bumi; Apollo 10 pula mengorbit bulan untuk latihan pendaratan pertama ke bulan.

Tangki oksigen untuk Apollo 13 telah meletup dan menghalang pendaratan ke bulan, tetapi dengan kaedah can-do masalah telah diselesaikan oleh kru dan misi kawalan ini digelar sebagai successful failure.

Kapal Angkasa Apollo terdiri daripada tiga bahagian :

Modul Perintah yang mana kru angkasawan makan dan tidur dalam perjalanan ke Bulan dan balik ke Bumi; Modul Perkhidmatan pula membekalkan elektrik, mengolah gerakan kuasa dan menolak balik ke bumi daripada orbit bulan dan membekalkan air ke kapal angkasa; Modul bulan pula digunakan untuk mendarat dan berlepas daripada permukaan Bulan.

Misi-misi Apollo dilancarkan melalui dua pelancar, iaitu Saturn 1B digunakan untuk misi pengorbitan bumi manakala Saturn V digunakan untuk ke bulan.

20 Julai 2009, bertempat di Masjid Jamek Datuk Haji Abdullah Sijang Port Dickson; saya telah diundang menyampaikan ceramah sempena Isra' Mikraj. Yang menariknya, saya digandingkan dengan Dato' Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha al-Haj al-Masrie; menyampaikan topik Isra' Mikraj dari 2 perspektif berbeza.

Bergambar sebelum menyampaikan ceramah

Sememangnya saya kagum dengan ketahanan fizikal beliau mengharungi cabaran ke angkasa. Walau apapun persepsi, istilah dan spekulasi yang dilemparkan kepada beliau, namun sesungguhnya tekanan 9G ketika ke angkasa (bersamaan seekor anak gajah memijak dada kita) bukanlah sesuatu yang menyeronokkan.


Friday, May 1, 2009

May Day


Para pekerja seantero dunia pastinya sedang merayakan May Day hari ini. Siapa pelopor gerakan massa membela pekerja?

Sejarah mencatatkan Peter J. McGuire sebagai salah seorang pencetus idea May Day pada tahun 1882. Beliau merupakan pengasas United Brotherhood of Carpenters and Joiners of America dan dalam masa yang sama merupakan salah seorang daripada pimpinan tertinggi American Federation of Labor.

Pada 1hb Mei 1886, sekitar 400,000 pekerja di Chicago, Illinois telah mengadakan demonstrasi besar-besaran untuk menuntut pengurangan jam kerja. Demonstrasi berlansung selama 4 hari. Pasukan polis Amerika kemudiannya menembak para peserta demonstrasi tersebut sehingga ratusan orang terbunuh dan para pemimpinnya ditangkap dan dihukum bunuh. Peristiwa ini dikenali dengan Haymarket affair (atau dikenali juga sebagai Haymarket riot atau Haymarket massacre).

Sebelum peristiwa 1 Mei tersebut, di pelbagai negara juga telah berlaku demonstrasi dan pemogokan oleh pekerja untuk menuntut perlakuan yang lebih adil dari para pemilik modal (kapitalis). Pada bulan Julai 1889, Kongres Sosialis Dunia yang diadakan di Paris menetapkan peristiwa 1hb Mei berkenaan sebagai Hari Pekerja Sedunia dan mengeluarkan resolusi bahawa “Satu tindakan besar antarabangsa harus diorganisasikan pada satu hari tertentu di mana semua pekerja (pekerja) di setiap negara pada masa yang sama menuntut agar pemerintah membuat undang-undang untuk mengurangkan jam kerja menjadi 8 jam sehari, dan juga melaksanakan semua resolusi Kongres Pekerja Antarabangsa Perancis.”

Resolusi ini mendapat sambutan yang hangat dari berbagai negara dan sejak tahun 1890, tanggal 1 Mei – yang diistilahkan dengan May Day – diperingati oleh kaum pekerja di pelbagai Negara; meskipun di sebahagian negara mendapat tekanan keras dari pemerintah masing-masing. Sejak tahun 1880, di AS dan Kanada, Hari Pekerja Sedunia disambut pada setiap hari Isnin pertama setiap September walaupun ada beberapa desakan dibuat untuk mengubahnya ke 1hb Mei.

Apa yang jelas dari sejarah Hari Pekerja Sedunia ini adalah ianya muncul dari rasa ketidakpuasan hati para pekerja setelah mereka ditindas dengan kejam oleh para pemilik modal. Setelah tidak tahan dengan mogok / demonstrasi yang sering dilakukan, maka pemerintah telah mengambil jalan tengah (kompromi) dengan melayani tuntutan yang dibuat oleh para pekerja dan seterusnya memberi ‘pengiktirafan’ kepada perjuangan mereka dengan mengisytiharkan hari cuti untuk mereka. Jalan tengah ini sedikit sebanyak mengurangkan desakan-desakan para pekerja. Kompromi sistem kapitalis barat inilah yang telah yang melahirkan Hari Pekerja Sedunia.

Namun sebagai muslim, Peter McGuire bukanlah hero sebenar kita. Perjuangan menegakkan keadilan kepada pekerja telah bergema 1400 tahun yang lalu lewat sebuah hadis qudsi :

"Tiga orang yang Aku musuhi pada hari kiamat nanti adalah orang yang telah memberikan (bai'at kepada Khalifah) kerana Aku, lalu berkhianat; orang yang menjual orang yang merdeka (untuk dijadikan hamba sahaya), lalu dia memakan harga (hasil) penjualannya; serta orang yang mengontrak pekerja kemudian pekerja tersebut menunaikan pekerjaannya, sedang orang itu tidak memberikan upahnya” (Riwayat Ahmad, Bukhari dan Ibn Majah dari Abu Hurairah)


Thursday, April 30, 2009

Hebatnya Berimaginasi

1. James Abram Garfield ketika usianya 10 tahun telah melihat seorang lelaki yang berpakaian kemas dan mewah lalu bertanya pada ibunya siapa lelaki itu. Jawab ibunya lelaki itu ialah ahli Kongres. Setelah ibunya menerangkan siapa ahli Kongres itu, secara spontan dia berkata pada ibunya yang dia mahu menjadi ahli Kongres apabila dewasa. Ibunya sekadar tersenyum. Keesokkan harinya dia menulis “Saya mahu menjadi ahli Kongres”. Selama beberapa bulan, setiap hari dia melihat tulisan itu yang ditampal di dinding dan sesekali ditatapnya pada hari berikutnya. Dia terus bersemangat dan sanggup bekerja pada setiap hujung minggu kerana kemiskinan keluarganya. Dari menjadi buruh kontrak sehinggalah menjadi guru tuisyen sehingga usianya 18 tahun, namun dia terus belajar sehingga ke kolej tanpa bantuan kewangan dari ibu bapanya. Pada usia 22 tahun, beliau lulus fakulti Undang-Undang. Walaupun sudah bergelar peguam tetapi kertas nota yang ditulisnya dahulu masih ditatap dan tergambar wajah ahli Kongres yang dilihatnya dahulu dan pada pada usia 33 tahun cita-citanya menjadi ahli Kongres tercapai. Lima belas tahun kemudian beliau menjadi ketua pula kepada ahli Kongres iaitu menjadi Presiden Amerika Syarikat ke-20 pada 4 Mac 1881.


2. Sehingga tahun 1954, belum ada manusia yang mampu berlari pada jarak satu batu (1.6 km) dengan kepantasan kurang daripada 4 minit. Ramai atlit yang telah mencuba, namun semuanya gagal. Roger Bannister, seperti atlit lain berazam untuk menjadi manusia pertama memecahkan rekod ini. Dia pernah mencuba, tetapi gagal dimana pada 2 Mei 1953, masa catatannya 4 minit 6 saat, namun kekuatan mindanya berkata, tiada yang mustahil. Jika selama ini dia dan orang-orang lain kuat berlatih secara fizikal tetapi dia mendapat ihlam untuk melatih otaknya. Setiap kali selepas berlatih samada di padang atau di gymnasium, dia akan berehat dan membayangkan bahawa dia telah berjaya memecahkan rekod itu. Kemudian semasa dia berlatih berlari, dia masih membayangkan perkara yang sama iaitu seolah-olah dia sedang menonton televisyen akan kejayaannya itu. Teman sepelatihnya sekadar tersenyum dengan “angan-angan”nya itu. Di hari pertandingan, pada 6 Mei 1954, dihadapan 3 ribu penonton, sesuatu yang dikatakan mustahil sudah berlaku. Rekod sudah dipecahkan, dia berlari kurang dari empat minit. Apa yang lebih menakjubkan, pada tahun itu juga seramai 40 orang telah berjaya berlari kurang dari 4 minit dan tahun berikutnya, seramai 300 orang boleh melakukannya. Yang terpahat ialah nama Sir Roger Gilbert Bannister yang kemudian menjadi pakar nerologi

3. Seorang ibu memaksa anak lelakinya mengikuti kursus motivasi selama 3 hari sedangkan PMR cuma tinggal 50 hari sahaja lagi. Dalam terpaksa, anaknya yang selama ini tidak pernah mendapat pangkat A dalam semua mata pelajaran, pergi dalam keadaan berat hati. Apabila balik dari kursus, si ibu melihat anaknya seperti sedikit bersemangat. Keesokan harinya, anaknya pergi ke sekolah seperti biasa, dan si ibu masuk ke bilik anaknya dan terdapat dua kertas ditampal di dinding. Pertama, kertas yang tertulis ikrar untuk berjaya dan kertas yang tercacat “Target PMR 6A”. Si ibu tersenyum bangga. Ketika di rumah si ibu bertanya mengapa tidak letak target 8 A? Si anak cuma tersengih dan berkata, “6 A pun dah banyak sangat”. Anak lelakinya meminta ibunya supaya ayahnya mencetak kertas yang sama seperti keputusan original PMR dan meminta ditulis namanya dan nama sekolah. Dia memberitahu mahu membayangkan pada setiap hari yang dia sudah pun berjaya mendapat 6A. Esoknya, ayahnya menyerahkan kertas itu, tetapi tercatat pangkat A pada semua pelajaran. Anaknya berkata, “Mana logik ayah! Matematik dan bahasa Inggeris susah nak dapat A”. Kata ayahnya, “Boleh, cuba dulu dan bayangkan ini keputusan PMR awak punya”. Kertas itu difotostat, satu ditampal di dinding dan satu lagi letak dalam beg sekolahnya. PMR tinggal beberapa minggu sahaja, dan si anak semakin rancak mentelaah buku-buku pelajarannya. Menakjubkan, apabila keputusan PMR keluar, apa yang tercatat di biliknya dan dalam beg sekolahnya itu sama dengan yang keputusan PMR sebenar!!


4. Ramai yang pernah tahu tentang Mental Arithmatik. Pada peringkat awal, pelajar diajar teknik pengiraan menggunakan sempoa (alat kira tradisional peniaga Cina). Setelah mahir mengira menggunakan sempoa ini, mereka disuruh pula mengira sambil mengimaginasikan sempoa itu jelas dalam mindanya. Setiap butir biji sempoa itu dia tahu tempatny dan mesti menggunakan sempoa yang sama setiap kali mengira. Setelah mampu berimaginasi, mereka disuruh mengira tanpa sempoa tadi tetapi mengguna sempoa yang sudah melekat dalam minda masing-masing. Apabila diberikan satu pengiraan matematik, pelajar ini akan mula mengira dan jari-jari mereka bergerak seolah-olah menggunakan sempoa yang sebenar. Hasilnya dalam beberapa saat, tanpa kertas dan pen mereka boleh mengira dengan pantas. Sebenarnya bukan jari-jari yang mengira, tetapi otak kanan mereka yang mengira iaitu otak imaginasi.


5. Ramai orang yang tahu tentang meringkas sesuatu pelajaran atau artikel dengan menggunakan lakaran peta minda. Dan dikatakan peta minda yang baik ialah cabang-cabang pada peta ini tidak lebih dari 6 – 7 tujuh cabang utama dan tidak lebih dari empat warna. Jika lebih dari itu, dinamakan serabut minda pula. Begitu juga tulisan dan cara penulisan mestilah mudah dibaca oleh sesiapa sahaja dengan dakwat hitam atau biru gelap. Peta minda ini sebenarnya ialah lakaran imaginasi dan mesti diulang membaca dan membayangkannya. Ada seorang pelajar yang betul-betul lupa jawapan dari soalan objektif dan dia sangat pasti ada tertulis dalam lakaran peta minda yang pernah dibuatnya. Apa yang dia boleh ingat ialah warna artline merah yang digunakan untuk bold jawapan itu. Dia termenung dan membayangkan warna itu dan akhirnya terbayang pula jawapan sebenar. Begitulah hebatnya berimaginasi iaitu kerja otak kanan.



6. Albert Einstein juga dikenali saintis yang malas dan kurang bercakap. Apabila ditanya rahsia kejayaannya, dia hanya menunjukkan kepalanya dan jarinya membuat lakaran seperti satu bingkai gambar. Lalu wartawan itu bertanya lagi, “Adakah tuan bermaksud gunakan otak untuk berimaginasi?” Beliau berkata, “Ya. Anda pun bijak!” Adalah tidak lucu, jika sekeping gambar orang yang berjaya atau ternama dan wajahnya anda tukar dengan gambar muka anda dan badannya masih badan orang tersebut, lalu anda tampal di dinding bilik anda, anda berimaginasi mahu menjadi ‘sepertinya’ – pernah seorang usahawan biasa melakukan sedemikian dan dalam beberapa bulan dia pula bergelar seorang jutawan.

Selamat berimaginasi...