Saturday, September 5, 2009

Rotan Oh Rotan

Mantan Timbalan Perdana Menteri Rusia, Dr. Boris Efimovich Nemtsov mendedahkan bahawa Rusia telah kehilangan (mati) rakyatnya seramai 500,000 ke 750,000 orang akibat daripada masalah ketagihan arak. Bayangkan, sekitar 72 % kes pembunuhan yang berlaku di Rusia adalah berpunca ataupun berkait dengan akibat arak. Begitu juga kira-kira 42 % kes mati bunuh diri juga dikaitkan dengan masalah arak.

Justeru, 3 orang saintis Rusia dari Institute of Hygiene in Novosibirsk yang dianggotai oleh Dr. Guerman Pilipenko (pakar Psikologi), Dr. Marina Chujrova (pakar Psikiatri) dan diketuai oleh Dr. Sergei V Speransky telah membuat satu kajian yang mendalam. Dr. Speransky merupakan pemegang Ph.D Biologi, pengkhususan dalam bidang Toxicology serta pakar dalam lapangan Parapsychology.

Pasukan beliau telah menemui satu dapatan bahawa hukuman rotan ke atas punggung tanpa berlapik adalah penawar menghilangkan ketagihan arak. Lebih menarik, kaedah merotan juga didapati mampu menyelesaikan pelbagai penyakit termasuklah tekanan perasaan.

Akhbar Izvestia pada 26 Mac 2005 telah melaporkan kenyataan para saintis tersebut :

"Caning releases endorphins, the body's natural 'happy chemicals', and that leads to feelings of euphoria, a reduction of appetite, the release of sex hormones and an enhancement of the immune response, and they have a similar effect on pain as drugs such as morphine and codeine, but do not lead to addiction or dependence"

Maksudnya : "Hukuman rotan merembeskan endorfin, bahan kimia semula jadi badan membuatkan seseorang menjadi gembira. Endorfin menjadi punca perasaan girang, mengurangkan selera, mengeluarkan hormon seks dan meningkatkan tindak balas kekebalan. Mereka berkata, kesakitan itu mempunyai kesan yang hampir sama dengan morfin dan candu tetapi ia tidak mendorong kepada ketagihan atau pergantungan.

Dr. Speransky mendakwa hukuman rotan seperti yang sering dilakukan di sekolah-sekolah Britain pada kurun sebelum ini telah terbukti berjaya membantu orang ramai mengatasi ketagihan atau tekanan. Menurut beliau, rawatan tersebut terbukti berkesan. "Ia tidak kejam sekurang-kurangnya itu adalah anggapan masyarakat lalu, tetapi saya menyokong hukuman itu", ujarnya lagi.

Dalam kajian tersebut, saintis Novosibirsk mencadangkan agar proses terapi rotan diadakan sebanyak 30 sesi membabitkan sebanyak 60 kali rotan ke atas punggung seseorang yang berbadan sederhana.

Dr. Marina Chujrova yang turut serta dalam menyediakan laporan itu menyatakan, beliau sudah pun mempunyai 10 pesakit yang menjalani terapi tersebut. "Pada mulanya mereka membantah tetapi apabila menyedari kebaikan tindakan itu, mereka pula yang meminta ia lakukan," katanya.

Pasukan perubatan Russia menyatakan mereka kini mengenakan caj untuk merotan pesakit dengan bayaran £57 (RM 342) bagi sesuatu rawatan biasa.

http://www.news-medical.net/news/2005/03/29/8788.aspx

Sememangnya jika dilihat dari sudut perundangan Islam, merotan pesalah yang minum arak sememangnya wujud. Dalam sebuah athar, Saidina Ali r.a berkata :

قال علي : جلد رسول الله في الخمر أربعين , وأبو بكر أربعين , وعمر ثمانين , وكل سنة وهذا أحب إليّ

Maksudnya : "Rasulullah s.a.w menyebat peminum arak sebanyak 40 sebatan, Abu Bakar juga 40 sebatan, Umar menyebat 80 sebatan. Semuanya adalah sunnah, dan ini (merujuk kepada 40 sebatan) adalah lebih aku sukai." (Riwayat Muslim) [1]

Namun sesuatu yang perlu diberikan penjelasan, mengikut Fiqh Islam penentuan lokasi sasaran pukulan bukanlah semestinya hanya menumpukan kepada punggung semata-mata. Sedikit untuk dikongsikan :

Mazhab Syafi'e

Imam Syafi'e berpendapat pukulan hendaklah ditujukan ke pelbagai anggota, dan hendaklah menjauhi muka, faraj, rusuk dan semua anggota yang ditakuti. Dalil mereka ialah pesanan Saidina Ali r.a kepada kepada tukang sebat : "Pukul dia dan berilah setiap anggota haknya dan jauhi muka dan zakarnya."[2]

Begitu juga ada riwayat daripada Umar r.a bahawa beliau menemui seorang jariyah yang sedang dilakukan had ke atasnya; lalu beliau berkata : "Kamu pergilah kepadanya, pukullah dan janganlah sampai mengoyakkan kulitnya." Ini kerana maksud daripada hadd adalah menegah (jawazir) tanpa bertujuan untuk membunuh."[3]

Mazhab Hanafi

Wajib menurut ulama' Hanafi agar tidak menumpukan pukulan pada satu-satu tempat sahaja, kerana ianya boleh membawa kepada kerosakan anggota atau mengoyakkan kulitnya. Pukulan itu hendaklah ditujukan pada pelbagai tempat seperti di bahu, lengan, lutut, peha dan betis, dan hendaklah dijauhkan daripada tempat-tempat yang ditakuti boleh membunuh seperti muka, kepala, dada, perut, dan anggota kemaluan.[4]

Mazhab Maliki

Imam Malik pula berpendapat bahagian yang dipukul semasa dijalankan had ialah belakang badan dan anggota yang berdekatan dengannya.[5]

Mazhab Hanbali

Imam Ahmad pula berpendapat, boleh memukul pada semua anggota kecuali pada tiga tempat iaitu kepala, muka dan kemaluan daripada lelaki dan perempuan, kerana selain tiga tempat ini bukanlah tempat yang boleh membunuh, umpama yang boleh itu ialah bahagian belakang badan. Dalil mereka ialah perkataan Saidina Ali yang lalu kepada tukang sebat : "Pukullah, dan sakitilah tetapi jauhilah daripada kepala dan muka."[6].

[1] Sahih Muslim, no. 1707, jld. 11/216

[2] Al-Haitami kata gharib Marfu' ke atas Ali (ertinya Hadis Mauquf) Subulussalam IV/32

[3] Mughni al-Muhtaj IV/154, Al-Muhazzab II/270

[4] Al-Bada'iu VII/60, Fathul Qadir IV/126, Al-Muhazzab II/270

[5] Bidayatul Mujtahid II/429, Hasiah Ad-Dusuqi IV/354.

[6] Al-Mughni Ibn Qudamah II/287

No comments:

Post a Comment