Tuesday, November 17, 2009

Aluuuuu...

Tatkala menjalani ibadah di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, antara perkara yang sering mengganggu tumpuan adalah bunyi deringan telefon bimbit para jemaah. Terlalu meriah dan pelbagai nada dering.

Ada nada dering Nokia Tunes, 3 Beep Tunes, Nostalgia.aac, alunan tune al-Quran Syeikh Dr. Abdul Rahman as-Sudais, Syeikh Abdullah Awad al-Juhani, Syeikh Dr. Ali Abd. Rahman al-Hudhaifi, Syeikh Dr. Salah Muhamad al-Budair dan ada kalanya terdengar tune intro gitar lagu 'Oh Fatimah' dendangan A. Ramli. Macam-macam ada...

Jika pemilik telefon itu bangsa selain Melayu, Insya-Allah dia akan meng'off' bila telefon bimbitnya berdering. Tapi kalau kebetulan telefon bimbit itu milik bangsaku, Masya-Allah akan dibiarkannya nada dering itu berbunyi terus-terusan. Jika ditakdirkan nada dering tu lagu 'Oh Fatimah', maka alamatnya mula dari intro gitar sampailah ke chorus lagu, tu akan berkumandang. Mungkin kerana pesanan ustaz dulu-dulu supaya jangan bergerak lebih 3 kali dalam solat, kononnya takut batal solat. Maka, tak beranilah hamba Allah tu meraba poket jubahnya untuk meng'off'kan telefon bimbit.

Bercakap tentang telefon bimbit, demam teknologi telekomunikasi di Arab Saudi sememangnya agak menarik untuk dikongsikan. Senario yang berlaku sekarang ini sebenarnya masih baru. Dulu, permintaan terhadap teknologi ini memang tinggi, namun pihak pemerintah masih belum bersedia membuka pintu. Kalau sesiapa yang masih ingat, dulu jika ingin menghubungi Malaysia jawabnya terpaksa beratur panjang Markaz Ittisalat atau Wartel (pondok telefon) dan bercakap telefon dari dalam kabin.

Bagi pihak Telco (syarikat operator komunikasi selular), peluang untuk menembusi pasaran Arab Saudi memang sentiasa diintai dan dinanti dengan penuh geram. Masakan tidak, dengan kepadatan penduduk hampir 25 juta orang (tak termasuk jemaah haji dan umrah yang keluar masuk), ditambah lagi dengan pertumbuhan penduduk sekitar 25% setahun; negara ini memang menjadi idaman gergasi Telco seluruh dunia untuk memasarkan produk dan perkhidmatan.

Dari sudut pelanggan tetap, sasarannya amat luas. 70% penduduk Arab Saudi adalah golongan muda. Pertumbuhan ekonomi tahunannya pula amat stabil dan telah mencecah 6% selama 3 tahun berturut-turut (maknanya pendapatan rakyatnya tinggi).

Monopoli Pasaran

Seperti yang dinyatakan tadi, sebagai sebuah negara yang memiliki 2 Tanah Suci pastinya tsunami teknologi komunikasi akan mencetuskan polemik halal - haram dikalangan agamawan. Pemerintah Arab Saudi amat mengambil berat soal 'ikhtilat' iaitu percampuran lelaki dan perempuan yang dilarang. Teknologi telefon bimbit akan menjadikan lelaki dan perempuan bebas berhubungan tanpa batasan tempat dan waktu. Ini membimbangkan mereka.

Namun tsunami teknologi ini membadai terlalu pantas, ganas dan bertubi-tubi. Jemaah haji dan umrah dari luar Arab Saudi serta golongan ekspatriat semuanya hadir dengan telefon bimbit masing-masing dan mengharapkan ianya dapat diroaming. Maka pemerintah Arab Saudi terpaksa akur. Justeru teknologi ini terpaksa diizinkan.

Pada peringkat awal - sebagai langkah kawalan - hanya STC atau Saudi Telecom Company (yang terkenal dengan al-Jawal) dibenarkan beroperasi. Sebelum tahun 1995, STC adalah satu-satunya syarikat tunggal yang memonopoli pasaran telekomunikasi Arab Saudi. Tanpa persaingan, teknologi komunikasi di Arab Saudi ketika itu hanyalah sebatas membuat / menyambut panggilan dan ber'sms'. Ini bererti, teknologi yang diizinkan pemerintah Arab Saudi sekadar 'buat syarat' saja.

Ketika itu kalau ada rakyat Malaysia yang membawa telefon canggih 3G ke Mekah, maka banyak mata akan memandang. Ada dikalangan rakyat Arab Saudi berfatwa kononnya haram menggunakan telefon 3G berkamera di Mekah. Maka, ramailah jemaah haji atau umrah Malaysia tatkala itu terpaksa menyorokkan telefon bimbit 3G berkamera dalam beg kargo kerana takut dirampas pihak berkuasa lapangan terbang Arab Saudi.

Namun, segalanya berubah selepas tahun 1995. Ketika itu persaingan Telco mula dibenarkan dan dibuka. Maka hasilnya, persaingan teknologi, produk dan perkhidmatan mulai hebat.

Mobily yang merupakan cabang Ettihad Etisalat milik UAE telah mengembangkan sayap ke Arab Saudi. Gelombang 'video call' dan 'internet mobile' mula melanda. Begitu juga dengan kehadiran Zain KSA yang dimiliki Kuwait telah mencetuskan fenomena 3G dan MMS. Konsep 'One Network' iaitu penggunaan di seluruh negara Arab tanpa perlu rayauan (roaming) benar-benar menarik perhatian pelanggan.

Menurut maklumat Jabatan Komunikasi dan Informasi Teknologi Arab Saudi, pelanggan telefon bimbit di negara tersebut telah mencecah 20 juta orang semenjak tahun 2007 yang mana setiap tahun menjana keuntungan hampir SAR 13 bilion. Dr. Abdel Rahman al-Ja'afari, pegawai kanan di jabatan itu berkata; 40% rakyat Arab Saudi menjadi pelanggan kepada lebih dari satu rangkaian Telco.

Kini di Masjidil Haram, jangankan jemaah haji; hatta pasukan keselamatan juga tidak terkecuali ralit ber'sms' semasa berdiri sambil bertugas di sebelah Hajar Aswad. Petugas Suqya Zam Zam di Bab Umrah masing-masing ada yang berbual menggunakan speaker phone di telinga. Penolak kerusi roda di Mas'aa antara Safa dan Marwa tidak lekang menyengetkan kepala bercakap henpon sambil menolak jemaah. Para jemaah tak henti-henti bercakap melalui 'video phone' di tingkat 1 Masjidil Haram. Jemaah yang ultra sibuk, ada yang tersengeh-sengeh bercakap telefon semasa tawaf.
Bahana

Namun, setiap kemajuan pasti perlu dibayar dengan harga yang tinggi. Ledakan teknologi telefon bimbit ternyata mengubah sedikit sebanyak lanskap tradisi dan taboo masyarakat Arab Saudi. Apa yang ditakuti oleh pemerintah ketika mula-mula teknologi ini diperkenalkan 20 tahun dulu, kini telah menjadi mimpi ngeri. Budaya percampuran lelaki dan perempuan yang begitu terkawal sebelum ini telah makin terhakis kerana masing-masing boleh berhubungan di alam talian. Lalu, akhirnya wujudlah masalah yang selama ini begitu membimbangkan mereka.

Menarik untuk dikongsikan satu laporan oleh akhbar Arab News berkenaan satu kajian penyelidik tentang masalah isi kandungan fail gambar (image) atau video (Real Player) dalam telefon bimbit milik remaja-remaja Arab Saudi yang dirampas Polis Syariah Arab Saudi. Kajian menunjukkan 70% daripada isinya adalah gambar pornografi atau video lucah.

Pihak Polis Syariah mendedahkan, 88% gadis telah membuat laporan kepada mereka dan mendakwa diri mereka telah menjadi mangsa salah guna dan ugut menerusi fail-fail gambar atau video dalam telefon bimbit yang diedarkan menerusi Bluetooth atau USB.

Menurut Prof. Abdullah al-Rasheed, daripada rampasan kad flash memory telefon bimbit oleh pihak Polis Syariah; 69.7% daripada 1,470 fail yang di saved adalah berkaitan pornografik dan 8.6% berkaitan keganasan. Prof. Abdullah telah menyampaikan kajian beliau tersebut dalam sebuah seminar anjuran King Fahd Security Academy.

Sesungguhnya membuka ruang kepada kehadiran teknologi memang banyak cabarannya. Boleh saja kita mendiamkan diri dan membiarkan teknologi terus berkembang. Namun sampai bila kita boleh bertahan?

Bagi sebuah negara, tindakan membuka ruang kepada teknologi bolehlah diumpamakan seperti membuka tingkap rumah kita. Ruang yang gelap akan menjadi terang. Hawa yang panas bakal berubah bila diterjah bayu yang menyegarkan. Tapi awas, semakin luas dan semakin banyak tingkap yang dibuka, maka bersedialah untuk menerima kehadiran lalat dan nyamuk. Jangan ditutup tingkap itu, tapi buatlah persediaan supaya lalat tidak mengganggu.

2 comments:

  1. Tn.hj....kalau kat mesir ni ...orang mesir jawab tepon dan balas mesej masa tengah semayang je...kadang2 masa rukuk..kadang2 masa sujud.

    ReplyDelete
  2. Takdok masalah booohh....Baguslah gitu. Rujuk http://muzir.wordpress.com/2009/03/29/telefon-berdering-ketika-solat/

    ReplyDelete