Wednesday, September 1, 2010

Ramadhan di Singapura

Baru-baru ini saya diundang ke Singapura oleh Jamiyah Islamiah bagi menyampaikan ceramah sempena Sambutan Nuzul Quran di Masjid Sultan, berhampiran North Bridge Road. Sememangnya Kota Singa ini menjadi destinasi kegemaran saya khususnya pada bulan Ramadhan. Ini kerana, kehangatan sambutan Ramadhan adalah jauh lebih meriah berbanding Malaysia yang lebih menumpukan kepada keghairahan menyambut Syawal. Jika kita ke masjid-masjid di Singapura, pengisian programnya amat padat dan unik. Di sana sini diadakan majlis ilmu, tadarus al-Quran dan perhimpunan jemaah yang sangat ramai jumlahnya. Tanpa sebarang dana dari Yang Berhormat atau Jabatan Agama, masyarakat Islam di Singapura tetap aktif mengadakan program hasil kutipan derma dan sumbangan orang ramai.

Juadah

Kemeriahan Ramadhan tidak boleh dipisahkan dari kewujudan pelbagai juadah yang jarang dilihat pada bulan lain. Singapura turut tidak terkecuali. Jika berkunjung ke Geylang Road, berderetan gerai dan premis yang menawarkan barangan ibadah dan juadah Ramadhan yang lazat dan unik. Menelusuri sepanjang Geylang termasuklah ke celah-celah Onan Road dan Joo Chiat Complex, saya sempat merakamkan beberapa juadah sempena Ramadhan yang begitu istimewa di Singapura.

1. Dendeng

Antara yang paling laris pada tahun 2010 ini ialah Daging Dendeng. Kalangan peniaga menyatakan makanan ini sebenarnya berasal dari Kuala Lumpur dan baru saja diperkenalkan di Kota Singa. Rasanya memang lazat dan sesuai dimakan dengan roti


Terdapat pilihan ayam dan daging, pedas dan biasa

2. Kentang Spring

Juadah ini adalah antara juadah unik yang saya temui di Singapura pada Ramadhan tahun ini. Kebetulan pada awal Ramadhan, saya ada terbaca tentang produk Kentang Spring yang sudah mula dijual di bazar-bazar Ramadhan sekitar Lembah Klang. Tak sangka akhirnya saya dapat melihat sendiri apa yang dikatakan sebagai Kentang Spring. Sememangnya sangat unik.


3. Murtabak Singapore


Murtabak keluaran Singapura memang sudah tidak dapat dinafikan kelazatannya. Jika berkunjung ke North Bridge Road, berhampiran dengan Masjid Sultan; kita boleh melihat 2 buah restoran yang begitu masyhur sekali dengan keenakan murtabaknya iaitu Restoran Singapore Zam Zam (est. 1908) dan Restoran New Victory (est. 1910).

Zam Zam (kiri) dan New Victory


Berhadapan Masjid Sultan

Tuesday, August 24, 2010

Terapi Ramadhan 14

Terapi malam Ramadhan 14 :

Malam ini ayuh kita bermanja dengan-Nya...

Pejamkan mata...Dengar...

Sesuai dihayati pada tengah malam, pasang ear phone...Dan biarkan air mata itu mengalir.

Masih sudikah Dia menerima cinta kita?

Selamat bermanja dengan-Nya...


Monday, August 23, 2010

Terapi Ramadhan 13

Terapi malam Ramadhan 13 :

Dengar sambil merenung sebaris demi sebaris bait-bait lirik lagu ini.

Sesuai dihayati pada tengah malam, pasang ear phone...Dan biarkan air mata itu mengalir.

Selamat bermanja dengan-Nya...

Thursday, August 12, 2010

Making A Difference @ TV2

Pagi ni saya berkesempatan menonton rancangan motivasi bual bicara "Making A Difference" di saluran TV2. Rancangan ini bersiaran dari jam 6.00 - 6.30 pagi.

Apa yang menarik, hos rancangan ini merupakan tokoh yang tidak asing lagi iaitu ayahanda saya Dato' Dr. Hj. Mohd. Fadhilah Kamsah. Apa yang menarik perhatian saya berkenaan program ini :

1. 100% dalam bahasa Inggeris. Seperti yang semua maklum, 90% penceramah arus perdana di Malaysia tidak fasih berceramah dalam bahasa Inggeris secara full swing (bukan broken, rojak atau Manglish). Sebagai old timer, Dato' Fadhilah telah berjaya menjadi peneraju dalam hal ini.

2. Audien yang hadir dalam program ini terdiri dari berbilang bangsa, termasuk Melayu yang urban dan tidak bertudung. Secara peribadi, bukan mudah mendapatkan audien seperti ini dalam program-program ceramah. Sekalung tahniah kepada team penerbitan yang berjaya mencari audien yang unik sebegini.

3. Tetamu di studio adalah terdiri dari selebriti yang jarang tampil dalam rancangan bersifat ceramah. Dalam episod kali ini, aktor Jehan Miskin telah diundang bagi berkongsi pendapat berkenaan tips berbicara dengan lelaki. Saya fikir, mampukah selebriti sebegitu sudi tampil menjadi tetamu dalam program Sehiris Peria Secawan Madu, Semanis Kurma atau Halaqah? Sekali lagi sekalung tahniah kepada krew penerbitan.

Akhirnya, saya doakan program ini terus berjaya pada masa akan datang.

Monday, July 12, 2010

ESQ 165

Sejujurnya, saya pernah terlibat dalam pelatihan ESQ 165 di Grand Ballroom, Flamingo by The Lake di Ampang pada 13 - 15 Jun 2008. Sebagai ATS, saya melihat ada kebaikan dalam modul ESQ 165 ini khususnya dalam mengisi kelompongan dakwah yang ada khususnya kepada golongan ekspatriat dan konglomerat yang sering memandang sebelah mata kepada ceramah ustaz dan ustazah. Begitu ramai golongan bergelar "Tan Sri", "Dato' Seri", jurutera serta golongan profesional lain yang luluh air mata akibat diketuk pintu hati mereka melihat keagungan Allah dan pencarian diri menerusi penggunaan teknologi audio visual yang canggih.

Namun saya pernah menyuarakan pandangan kepada ESQ Malaysia agar sentiasa mengawasi modul ini agar di kemuncaknya kelak tidak menjadi pemuja (tanpa sedar) kepada pengasas ESQ. Berapa banyak modul sebelum ini yang begitu hebat, namun akhirnya tumbang dek kerana taksub dengan pengasas masing-masing. Saya melihat mereka begitu menerima nasihat ini.

Untuk sekian lama, saya tidak lagi mengikut pelatihan ESQ 165 dek kerana hambatan tugas. Sekadar memerhati dari jauh, saya melihat perkembangan mendadak ESQ 165. Hasil dari alumni dan bekas pesertanya yang terdiri dari tokoh pimpinan negara serta editor-editor akhbar, ESQ berjaya mendapat liputan yang amat luar biasa. Sementelah lagi, ada akhbar harian yang setiap hari memaparkan iklan serta liputan aktiviti ESQ 165.

Perkembangan ini benar-benar menarik perhatian saya. Ini kerana, sebagai ahli kepada Muslim Trainers and Motivators Association of Malaysia (TAMRIN) saya bercampur dan bergaul dengan ramai penceramah motivasi dan jurulatih kecerdasan yang 100% Made in Malaysia. Pendedahan luar biasa kepada modul yang "Made In Indonesia" pastilah sedikit sebanyak menimbulkan polemik.

Harapan saya, pihak ESQ 165 Malaysia perlu banyak bersabar dan tidak melatah. Saya percaya, hasil pelatihan selama ini, pastilah emosi kita telah berjaya dijinakkan seadanya.

ESQ 165 vs Modul Made in Malaysia

Sekarang, modul serta pendekatan kursus motivasi telah berkembang pesat. Pelbagai pendekatan yang kreatif, pelik dan kadang-kadang melucukan boleh kita temui setiap hari khususnya dalam iklan di dada-dada akhbar tabloid.

Namun kadang-kadang, ada antaranya yang menimbulkan persoalan di benak saya :

1. Penggunaan secara berleluasa gelaran "Dato", "Prof.", "Dr." oleh segelintir penceramah. Betul ker ada semua gelaran tu? Bukankah bila dah keluar dari universiti, secara automatik gelaran professorship seseorang itu akan ditarik balik? Jika dalam hal sebegini tidak boleh jujur, lalu kejujuran apa yang boleh diharapkan dari kata-katanya? Belum dikira soal penggunaan gelaran "Dr." yang diambil dari entah berantah...

2. Modul ceramah yang pelik, seperti mampu menyingkap masa depan dan potensi seseorang hanya berdasarkan tarikh tertentu, kedudukan tahi lalat, jenis tulisan, jenis darah, style tandatangan atau warna kegemaran. Selepas ini tidak mustahil akan muncul pula modul menggunakan sotong kurita, kucing Siam, ikan laga atau macam-macam jenis binatang "psikik" lain untuk menyingkap potensi masa depan kita.

3. Modul ceramah yang ekstrim, seperti menanamkan rasa cinta melampau dan luar biasa kepada harta dan wang. Ada kalangan peserta bercerita mereka diminta menjadikan kalimat sayang kepada wang sebagai "zikir" harian demi untuk menjadikan duit mudah datang kepada kita.

Mungkin selepas ESQ 165, jabatan fatwa tertentu akan melihat pula kepada pelatihan-pelatihan yang pelik serta ekstrim ini untuk difatwakan...

Monday, May 24, 2010

Cabaran Dakwah

Hari ini saya berpeluang menemui mahasiswa dan mahasiswi Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) dalam program Anjung Munakahat. Selesai majlis, ada peserta yang bertanya tentang apakah antara cabaran hebat menjadi pendakwah dan berdakwah? Santai saya menjawab, "antaranya, kena saman polis"....Ramai yang ketawa.

Dan ternyata, hari ini mulut saya masin. Padan muka...
Surat cinta bertarikh 24 Mei 2010, jam 4.48 petang

Tuesday, November 17, 2009

Nak Telefon Malaysia?

Menghubungi keluarga di Malaysia adalah satu keperluan bagi sesetengah jemaah haji. Suara keluarga di kampung adakalanya memberi kekuatan untuk meneruskan perjuangan di bumi Bakkah ini.

Antara cara yang boleh diambil untuk memudahkan komunikasi :

1. Jika anda super kaya, bawa saja telefon bimbit Malaysia beserta sim kadnya ke Arab Saudi.

Kemudahan rayauan (roaming) memang baik. Cuma masalahnya, akan ada kenalan (yang tak tahu kita di Tanah Suci) yang suka-suka hati menelefon kita yang sedang tidur jam 3.00 pagi (waktu Saudi) kerana di Malaysia sudah jam 8.00 pagi. Nelepon tu pulak bukan sebab hal yang mustahak sangat, cuma nak ajak mengeteh jer...Waduh. SMS yang masuk pulak jangan ceritalah. 10 minit sekali masuk message. Barang perlu diingat, setiap SMS yang kita terima, akan di charge mengikut kadar perantauan biasa.

2. Menggunakan kad iTalk TM.

Setiap jemaah ada dibekalkan dalam beg sandang masing-masing sekeping kad iTalk bernilai RM5.00 secara percuma dan ikhlas dari Telekom Malaysia. Kad tersebut sah penggunaannya selama 30 hari. Caranya sangat mudah dan menjimatkan.

Mula-mula dapatkan telefon talian tetap (biasanya di bilik penginapan, di booth TM atau di lobi hotel). Selepas itu dail 1 800 60, dengar arahan telefonis (bahasa Melayu) kemudian masukkan nombor kad 12 digit. Masukkan terus nombor destinasi (tak perlu mulakan dengan +6 xxxx). Kadar panggilan hanya RM 1.00 seminit. Jika ingin tambah nilai, atau menghadapi sebarang masalah teknikal bolehlah dirujuk terus kepada wakil atau agen TM yang banyak membuka booth di hotel atau Maktab sama ada di Mekah atau Madinah. Tahap privacy bergantung kepada lokasi telefon. Kalau guna telefon di bilik, segan nak jiwang karat kalau roomates ada. Kalau guna telefon di lobby, segan nak ber'I Love You' atau ber'I Miss You' sebab ramai yang tengah berbaris.

3. Menggunakan khidmat Markaz Ittisalat atau Wartel (pondok telefon).

Kadar panggilan adalah 50 sen seminit. Agak murah tapi terpaksa beratur panjang untuk mendapatkannya. Privacy juga kurang, kerana berbual didalam kabin kecil (ala-ala kabin karaoke 'seringgit satu lagu' di Malaysia). Di kiri kanan kita ada pengguna dari India, Pakistan atau Bangladesh yang tatkala bercakap memang volume suaranya hampir sampai ke Jeddah. Pengguna perlu memasukkan nombor 006 jika ingin menghubungi Malaysia. Pastikan mengambil resit setiap kali selesai membuat panggilan, kerana kadang kala nombor yang kita tersalah tekan pun diambil kira. Selamat bertengkar.

4. Membawa sim kad pra-bayar Malaysia ke Tanah Suci.

Kebiasaannya operator selular di Malaysia ada menyediakan pakej khas untuk jemaah haji. Sebagai contohnya, Maxis yang memperkenalkan LRN (Local Roaming Number) yang menyediakan nombor prabayar tempatan di Arab Saudi melalui kad SIM Hotlink Haji. Nombor ini disediakan oleh Saudi Telecom Company (STC) menerusi perkhidmatan prabayar STC yang dikenali sebagai 'Sawa'. Dengan servis LRN kita boleh jimat sehingga 70% untuk panggilan suara sewaktu di Arab Saudi. Akan tetapi, servis LRN ini hanya boleh digunakan untuk panggilan suara dan video. Untuk SMS, kita akan dicaj kadar perantauan biasa.

CELCOM juga tak ketinggalan memperkenalkan pek prabayar istimewa yang dikenali 'Pek Jemaah Haji Celcom Blue'. Menerusi pek berkenaan, jemaah ditawarkan kadar roaming terendah bernilai 68 sen seminit dari 12 tengah malam hingga enam pagi dan dari 12 tengah hari hingga 3 petang, waktu Malaysia. Kelebihan lain, jemaah tak perlu memikirkan cara untuk menambah nilai. Semua aktiviti itu hanya dilakukan oleh ahli keluarga masing-masing di Malaysia. Celcom akan menghantar SMS secara automatik bagi memaklumkan kepada ahli keluarga jemaah haji di Malaysia apabila kadar penggunaan mencapai paras RM30.00 dan ke bawah. Untuk nak aktifkan perkhidmatan ini, jemaah hanya perlu menaip 'HAJI' diikuti nombor telefon ahli keluarga yang diingini dan hantar ke 28882. Pek ini turut didatangkan khas dengan tambah nilai awal berjumlah RM50 berserta SMS percuma mengenai isi kandungan berkaitan kerja haji dan amalan doa seharian. Tapi awas, jika menelefon di luar dari waktu yang disebutkan, kadarnya adalah 98 sen seminit. Ber'sms' dengan talian ini juga agak mahal iaitu RM 2.00 per sms. Dari sudut teknologi MMS dan 'video call', agak menyeksakan dan lembab.

5. Membeli sim kad pra-bayar Arab Saudi.

Terdapat tiga operator GSM besar beroperasi di Saudi (setahu saya tidak ada CDMA) iaitu al-Jawal (STC), Etihad Etisalat Company (Mobily) dan MTC Saudi Arabia (Zain SA). Harga permulaan sekitar SAR 70.00 dan boleh meningkat ke SAR 100.00 pada waktu dan lokasi tertentu.

Telefon bimbit boleh dibawa terus dari Malaysia. Di Saudi mereka menggunakan frekuensi GSM yang sama dengan Malaysia. Justeru, telefon bimbit paling murah pun boleh digunakan, tak perlu yang mahal 2 atau 3 band frekuensi. Jika ingin membeli telefon bimbit di Madinah atau Mekah pun tidak ada masalah. Harganya lebih kurang di Malaysia juga. Mungkin lebih istimewa sebab ada font Arabic.

Cara untuk mendapatkan sim kad juga amat mudah. Bagi jemaah KT awal yang terus ke Madinah, kebiasaannya telah berbaris para muzawir bangsa Indonesia dihadapan hotel penginapan sambil memegang sim kad untuk jualan. Selain itu disepanjang jalan menuju ke Masjid Nabawi terdapat ramai anak Arab yang menjual di tepi jalan. Bagi jemaah yang terus ke Mekah, ada masanya sim kad ini ditawar secara percuma di Maktab. Untuk tambah nilai, boleh dapatkan di kedai runcit atau di penggurup wang (money changer). Tapi awas, ada juga penjual yang mengambil untung melampau. Top-up kredit SAR 30.00 boleh menjadi SAR 35.00 jika kita tak cakna. Menggunakan talian Arab Saudi agak menyenangkan. Panggilan ke tanah air kebiasaannya SAR 1.76 seminit. SMS ke Malaysia mulai jam 12 tengah malam hingga 9 pagi (waktu Saudi) hanya sekitar 25 sen sahaja. Pada waktu selain itu, baru 50 sen. 3G internet juga bagus, kalau setakat membaca 6 ulasan berita di Utusan Online baru SAR 3.00.

6. Gunakan telefon internet di cyber-cafe.

Warga emas tak digalakkan sebab agak leceh. SAR 15.00 sahaj untuk sejam, bercakaplah puas-puas menggunakan speaker phone. Tahap privacy, agak sukar dijangka. Kalau kebetulan ada orang Malaysia sebelah kita, terpaksalah control skit.

Kesimpulannya, telefonlah ke Malaysia. Suara anda memberi kekuatan kepada mereka yang ditinggalkan.