Saturday, November 14, 2009

Pembersih Rumah Allah



Kebersihan adalah bahagian dari keimanan. Justeru, kebersihan tempat solat adalah sebahagian dari perkara yang menentukan sah atau tidak solat kita. Tugas membersihkan Masjidil Haram dan Masjid Nabawi adalah sesuatu yang menarik untuk dibincangkan. Saban hari para jemaah dapat melihat betapa para pekerja pembersihan begitu cekap menjalankan tugasan mereka di lokasi yang amat sesak. Bayangkan dengan kehadiran hampir 2 juta jemaah saat ini, tugas pembersihan tetap dilakukan dengan cemerlang walaupun hakikatnya mereka hanya dibayar dengan gaji yang amat kecil iaitu :

SAR 350.00 sebulan : Gaji Pokok
SAR 29.00 sebulan : Elaun Perubatan
SAR 50.00 sebulan : Elaun Makan
TOTAL : SAR 529.00 sahaja sebulan.

Secara umumnya pekerja pembersihan masjid terbahagi kepada beberapa kategori :

1. Baju warna coklat : Penyelia (supervisor)
2. Baju warna hijau : Unit Air Zam Zam / interior
3. Baju warna putih : Unit Kemasan al-Quran
4. Baju warna biru : Unit Pembersihan
5. Jubah putih dengan vest coklat : Chief Supervisor

Jika dibuat perbandingan, di Masjid Nabawi pekerja unit Kemasan al-Quran adalah lebih glamour berbanding dengan pekerja unit lain. Mereka lazimnya dikenali dengan uniform berwarna putih. Lain-lain unit agak kurang menyerlah. Kebiasaannya tugas mereka menyusun mashaf (di rak al-Quran) sebanyak 5 naskhah setiap edisi sama ada mushaf Uthmani, mushaf Baghdadi, terjemahan Indonesia, Urdu dan lain-lain. Selain itu, mereka bertanggungjawab mengagih dan menyimpan mashaf untuk bacaan mengikut permintaan jemaah yang sedang duduk di saf. Tidak hairanlah jika pekerja unit ini saban hari berpeluang 'bermain' di sekitar Raudhah.

Di Masjidil Haram pula, unit yang paling glamour adalah Unit Pembersihan sama ada Pembersihan Dalaman (uniform hijau) atau Luaran Masjid (uniform biru). Setiap kali sebelum solat fardhu, 2 orang pekerja unit ini akan membersihkan Hajar Aswad, Multazam dan tempat solat imam. Sudah tentu apabila dimulakan solat, mereka akan berpeluang duduk di saf pertama.

Paling ketara selepas waktu Isya', pekerja unit ini akan membuat kepungan sekitar kawasan tumpuan dengan membina pagar manusia (sambil memegang pita merah) disekeliling tempat yang ingin dibersihkan. Saat inilah sekiranya sesiapa ingin tawaf dengan tenang tanpa bersesak, ikutlah laluan para pekerja unit ini yang akan turut 'tawaf' sambil menyapu sampah yang ada di dataran Ka'abah.

Di luar masjid iaitu di kawasan piazza, sekumpulan pekerja unit Pembersihan Luar juga sedang melakukan tugasan dengan kaedah yang sama. Namun tugasan mereka lebih mencabar kerana terpaksa berhadapan dengan orang ramai yang lalu lalang atau berbaring di piazza tersebut. Penggunaan alatan canggih seperti Haram Captor telah memudahkan tugas mereka.





Kisah Lucu Unit Pembersihan

Dalam satu temuramah wartawan Arab News dengan para pekerja Unit Pembersihan ini, banyak kisah lucu dan pelik yang dihadapi oleh mereka setiap hari. Bayangkan, ada dikalangan jemaah :

1. Bersalam, menggosok badan dan memeluk pekerja pembersihan untuk mengambil berkat

2. Mencuci muka dan badan dengan air cucian lantai Masjidil Haram untuk mengambil berkat

3. Mematahkan bahagian penyapu, berus atau mop lantai untuk dibawa pulang dan dijadikan barang berkat.

Burj Abbas



Bangunan Buruj Abbas merupakan pusat penginapan dan pengurusan Maktab 80, 81 dan 82 . Terletak di Misfalah, jaraknya kira-kira 800 meter (15 minit jalan kaki) ke Masjidil Haram. Maktab-maktab lain secara umumnya lebih dekat dengan Masjidil Haram, contohnya :
1. Dar al-Ghazzah : 450 meter
2. Ghandurah : 500 meter
3. Marwah an-Naga : 550 meter
4. Bafel : 700 meter
5. Abraj Khazindar : 750 meter
6. Hassan Khazindar : 750 meter
7. Elaf Sud : 750 meter
8. Syurakah : 750 meter
9. Durrat Quds : 750 meter
10. Seif : 750 meter
11. Janadriyah (ibupejabat Tabung Haji) : 760 meter
Walaupun kelihatan agak jauh jarak ke masjid berbanding Maktab lain, Maktab 81 memiliki keistimewaan yang tidak ada pada maktab lain :

1. Lokasinya berhampiran 2nd Ring Road (Umar al-Khattab Road) yang merupakan lebuhraya ke Aziziah / Mina. Ini bererti jemaah Maktab 81 tidak perlu mengharungi kesesakan luar biasa kota Makkah untuk ke Arafah - Muzdalifah - Mina nanti.

2. Jalan ke masjid landai dan menempuh kedai-kedai yang pelbagai. Maktab lain terpaksa turun naik bukit dan menempuh lorong yang menyeramkan di celah-celah kedai. Bagi warga Maktab 81, dalam keasyikan menengok barang, sedar-sedar dah sampai depan Bin Dawood.



3. Maktab 81 memiliki kemudahan yang hampir sempurna. Di sini terdapat kaunter pengeluaran Tabung Haji, khidmat Guru Agama dan Pakar Rujuk, Klinik dan Farmasi, Kafeteria D'Saji (roti canai, teh tarik), khidmat dobi dan surau yang terbesar di Makkah untuk aktiviti keagamaan. Bermula tingkat 1 hingga 10, Maktab ini boleh menempatkan seramai 3,000 jemaah haji Malaysia. Bagi sebarang urusan, boleh dapatkan pada waktu berikut :

7.00 pagi hingga 12.00 tengahari
4.30 petang hingga 10.00 malam
Kecemasan : 24 jam

Pentadbiran

Rais Majmu'ah Muassasah Mutawify : Faiz Siraj Damanhuri
Pengurus : Hj. Mohyen bin Mosman
Pen. Pengurus : Hj. Mohd. Shuhaimi bin Ahmad
Guru Agama : Hj. Shihabudin Alang Mat Piah
Pegawai Perubatan : Dr. Mohd. Lotfi bin Hamzah

Rokok di Tanah Suci

Hari ke-13 di Mekah, 14 hari lagi Wukuf (21 hari lagi nak balik Mesia...).

Bagi perokok, terlalu banyak cerita yang merisaukan tatkala berkira-kira untuk meneruskan tabiat itu di Tanah Suci. Ada yang bercerita kononnya pihak berkuasa Lapangan Terbang sama ada di Jeddah atau Madinah akan merampas semua rokok yang dibawa dari Malaysia. Ada juga yang mengatakan rokok tidak dijual langsung di mana-mana kedai di kedua-dua Tanah Suci itu.

Hakikatnya, ada yang benar dan ada yang separuh benar. Rokok sememangnya bahan larangan jualan, khususnya kedai-kedai yang berada dalam radius 6 km sekeliling kota Makkah dan Madinah. Mana-mana peniaga yang didapati menjual rokok, hukumannya amat berat. Denda SAR 10,000 dan kedai diperintahkan tutup selama sebulan. Justeru, penjual rokok secara terang-terangan di Makkah dan Madinah boleh dikatakan hampir tidak ada langsung. Minggu lalu sahaja, akhbar al-Madina melaporkan pihak berkuasa di al-Shouqa, Makkah telah berjaya merampas 600 karton rokok pelbagai jenama dijual di kedai-kedai.

Namun, penjualan secara 'kenyit mata', memang ada dimana-mana. Membeli rokok di Makkah dan Madinah samalah seperti membeli ganja di Malaysia. Terlalu sulit dan berhati-hati. Lebih banyak menggunakan komunikasi mata dan hati berbanding lisan. Di baqolah (kedai runcit) kecil khususnya, sebut saja rokok jenama apa. Jangan cuba mencari rokok di Bin Dawood, Safa Supermarket atau Marwa...Kena khutbah dek penjualnya nanti.

Nak tau kedai mana? Setiap hari di depan Maktab beratur panjang mutawif dan muzawir warga Indonesia yang berbaris mencari pelanggan jemaah haji Malaysia untuk upah haji, korban, aqiqah, jual sim kad Saudi dan tasbih koka. Kebanyakan mereka memang melekat dan tergantung Gudang Garam di bibir masing-masing. Tanya sajalah...Selain itu, pekerja Maktab yang terdiri dari orang Pakistan, India dan Bangladesh juga boleh menjadi penunjuk arah yang baik.

Di kedai runcit - selain rokok menthol - semua jenama rokok ada dijual termasuklah rokok keluaran Indonesia dan juga Cleopatra dari Mesir. Biasanya rokok disorok dalam kotak, dan kotak itupun duduk dalam kotak, dan kota itupun tersorok dalam sebuah kotak lagi. Harganya dalam lingkungan SAR 8.00 - SAR 11.00. Yang menggembirakan perokok Malaysia, kotak rokok Arab Saudi tidak ada gambar tekak berlubang, paru-paru hitam atau jari kaki hilang satu.

Merokok di Tanah Suci

Jika penjualan rokok tidak dibenarkan, lalu bagaimana dengan perokok? Bolehkah mereka merokok merata-rata? Hakikatnya, merokok paling tidak dibenarkan di kawasan Masjidil Haram dan Masjid Nabawi. Banyak iklan dan papan tanda yang melarang. Adapun bila keluar saja dari kawasan piazza masjid, maka ceritanya berbeza.

Di Starbuck Zam Zam Tower, food court al-Sofwah Tower, ruang santai Hilton Makkah (dekat food court)...Masya-Allah, macam lokomotif. Sepanjang tangga menuju Masjid Saidina Abu Bakar di Hilton juga tak terkecuali. Semua tempat yang dinyatakan tu, jaraknya hanya lingkungan 150 meter dari Pintu Besar Masjidil Haram. Bayangkan kalau di kawasan yang jaraknya jauh lagi seperti Misfalah, Ma'ala atau Ghazzah...Puuhh semangat. Ya, dalam masa umrah ada jemaah yang dimarah kerana merokok merata-rata, namun pada musim haji ianya tidak menjadi taboo lagi.

Perokok di Arab Saudi

Akhbar Arab News keluaran 2 Nov 2009 ada menyiarkan satu artikel menarik mengenai perokok di Arab Saudi. Dalam rangking world cigarettes consumers, Arab Saudi menduduki tangga ke-4 dunia. Ada seramai 6 juta perokok di Arab Saudi yang mana nilai import rokok mencecah SAR 13 billion setahun. Nisbah seorang perokok di Arab Saudi membelanjakan kira-kira SAR 8 billion setahun (2,000 bungkus setiap perokok), yang mengakibatkan 33 kematian setiap bulan berpunca dari rokok. Yang agak mengejutkan ialah, 10% perokok di Arab Saudi adalah wanita dan 19.3% adalah remaja.

Kesimpulan, peluang pergi haji merupakan ruang untuk berhenti tabiat merokok. Namun kalau salah cara pergaulan, mungkin semakin bertambah kuat merokok selepas balik haji nanti.

p.s : Tolong jangan merokok dalam bilik penginapan. Kesianlah kat roomates yang tidak merokok.

Friday, November 6, 2009

Labbaikallah

Sementara menanti Solat Asar


Hari ke-13 di Mekah, 14 hari lagi Wukuf (21 hari lagi nak balik Mesia...). Seperti biasa, Burj Abbas di Misfalah ni (Maktab 81) menerima tetamu Allah dari Malaysia hampir setiap hari. Ada yang dari Madinah al-Munawwarah dan ada yang direct dari Jeddah.

Kini dah ada seramai 1.5 juta manusia di kota Makkah al-Mukarramah. Mulai minggu depan, yang datang kebanyakannya kelompok haji Ifrad yang lazimnya terdiri dari orang-orang VVIP.

Saturday, September 5, 2009

Rotan Oh Rotan

Mantan Timbalan Perdana Menteri Rusia, Dr. Boris Efimovich Nemtsov mendedahkan bahawa Rusia telah kehilangan (mati) rakyatnya seramai 500,000 ke 750,000 orang akibat daripada masalah ketagihan arak. Bayangkan, sekitar 72 % kes pembunuhan yang berlaku di Rusia adalah berpunca ataupun berkait dengan akibat arak. Begitu juga kira-kira 42 % kes mati bunuh diri juga dikaitkan dengan masalah arak.

Justeru, 3 orang saintis Rusia dari Institute of Hygiene in Novosibirsk yang dianggotai oleh Dr. Guerman Pilipenko (pakar Psikologi), Dr. Marina Chujrova (pakar Psikiatri) dan diketuai oleh Dr. Sergei V Speransky telah membuat satu kajian yang mendalam. Dr. Speransky merupakan pemegang Ph.D Biologi, pengkhususan dalam bidang Toxicology serta pakar dalam lapangan Parapsychology.

Pasukan beliau telah menemui satu dapatan bahawa hukuman rotan ke atas punggung tanpa berlapik adalah penawar menghilangkan ketagihan arak. Lebih menarik, kaedah merotan juga didapati mampu menyelesaikan pelbagai penyakit termasuklah tekanan perasaan.

Akhbar Izvestia pada 26 Mac 2005 telah melaporkan kenyataan para saintis tersebut :

"Caning releases endorphins, the body's natural 'happy chemicals', and that leads to feelings of euphoria, a reduction of appetite, the release of sex hormones and an enhancement of the immune response, and they have a similar effect on pain as drugs such as morphine and codeine, but do not lead to addiction or dependence"

Maksudnya : "Hukuman rotan merembeskan endorfin, bahan kimia semula jadi badan membuatkan seseorang menjadi gembira. Endorfin menjadi punca perasaan girang, mengurangkan selera, mengeluarkan hormon seks dan meningkatkan tindak balas kekebalan. Mereka berkata, kesakitan itu mempunyai kesan yang hampir sama dengan morfin dan candu tetapi ia tidak mendorong kepada ketagihan atau pergantungan.

Dr. Speransky mendakwa hukuman rotan seperti yang sering dilakukan di sekolah-sekolah Britain pada kurun sebelum ini telah terbukti berjaya membantu orang ramai mengatasi ketagihan atau tekanan. Menurut beliau, rawatan tersebut terbukti berkesan. "Ia tidak kejam sekurang-kurangnya itu adalah anggapan masyarakat lalu, tetapi saya menyokong hukuman itu", ujarnya lagi.

Dalam kajian tersebut, saintis Novosibirsk mencadangkan agar proses terapi rotan diadakan sebanyak 30 sesi membabitkan sebanyak 60 kali rotan ke atas punggung seseorang yang berbadan sederhana.

Dr. Marina Chujrova yang turut serta dalam menyediakan laporan itu menyatakan, beliau sudah pun mempunyai 10 pesakit yang menjalani terapi tersebut. "Pada mulanya mereka membantah tetapi apabila menyedari kebaikan tindakan itu, mereka pula yang meminta ia lakukan," katanya.

Pasukan perubatan Russia menyatakan mereka kini mengenakan caj untuk merotan pesakit dengan bayaran £57 (RM 342) bagi sesuatu rawatan biasa.

http://www.news-medical.net/news/2005/03/29/8788.aspx

Sememangnya jika dilihat dari sudut perundangan Islam, merotan pesalah yang minum arak sememangnya wujud. Dalam sebuah athar, Saidina Ali r.a berkata :

قال علي : جلد رسول الله في الخمر أربعين , وأبو بكر أربعين , وعمر ثمانين , وكل سنة وهذا أحب إليّ

Maksudnya : "Rasulullah s.a.w menyebat peminum arak sebanyak 40 sebatan, Abu Bakar juga 40 sebatan, Umar menyebat 80 sebatan. Semuanya adalah sunnah, dan ini (merujuk kepada 40 sebatan) adalah lebih aku sukai." (Riwayat Muslim) [1]

Namun sesuatu yang perlu diberikan penjelasan, mengikut Fiqh Islam penentuan lokasi sasaran pukulan bukanlah semestinya hanya menumpukan kepada punggung semata-mata. Sedikit untuk dikongsikan :

Mazhab Syafi'e

Imam Syafi'e berpendapat pukulan hendaklah ditujukan ke pelbagai anggota, dan hendaklah menjauhi muka, faraj, rusuk dan semua anggota yang ditakuti. Dalil mereka ialah pesanan Saidina Ali r.a kepada kepada tukang sebat : "Pukul dia dan berilah setiap anggota haknya dan jauhi muka dan zakarnya."[2]

Begitu juga ada riwayat daripada Umar r.a bahawa beliau menemui seorang jariyah yang sedang dilakukan had ke atasnya; lalu beliau berkata : "Kamu pergilah kepadanya, pukullah dan janganlah sampai mengoyakkan kulitnya." Ini kerana maksud daripada hadd adalah menegah (jawazir) tanpa bertujuan untuk membunuh."[3]

Mazhab Hanafi

Wajib menurut ulama' Hanafi agar tidak menumpukan pukulan pada satu-satu tempat sahaja, kerana ianya boleh membawa kepada kerosakan anggota atau mengoyakkan kulitnya. Pukulan itu hendaklah ditujukan pada pelbagai tempat seperti di bahu, lengan, lutut, peha dan betis, dan hendaklah dijauhkan daripada tempat-tempat yang ditakuti boleh membunuh seperti muka, kepala, dada, perut, dan anggota kemaluan.[4]

Mazhab Maliki

Imam Malik pula berpendapat bahagian yang dipukul semasa dijalankan had ialah belakang badan dan anggota yang berdekatan dengannya.[5]

Mazhab Hanbali

Imam Ahmad pula berpendapat, boleh memukul pada semua anggota kecuali pada tiga tempat iaitu kepala, muka dan kemaluan daripada lelaki dan perempuan, kerana selain tiga tempat ini bukanlah tempat yang boleh membunuh, umpama yang boleh itu ialah bahagian belakang badan. Dalil mereka ialah perkataan Saidina Ali yang lalu kepada tukang sebat : "Pukullah, dan sakitilah tetapi jauhilah daripada kepala dan muka."[6].

[1] Sahih Muslim, no. 1707, jld. 11/216

[2] Al-Haitami kata gharib Marfu' ke atas Ali (ertinya Hadis Mauquf) Subulussalam IV/32

[3] Mughni al-Muhtaj IV/154, Al-Muhazzab II/270

[4] Al-Bada'iu VII/60, Fathul Qadir IV/126, Al-Muhazzab II/270

[5] Bidayatul Mujtahid II/429, Hasiah Ad-Dusuqi IV/354.

[6] Al-Mughni Ibn Qudamah II/287

Tuesday, August 4, 2009

Bulan Oh Bulan

Tahun ini merupakan sambutan ulang tahun ke-40 bagi pendaratan Apollo 11 ke Bulan pada 21 Julai 1969. Empat puluh tahun dulu, manusia pada kali pertama meninggalkan rumah kita iaitu bumi dan meneroka ke bulan.

Daripada tahun 1968 hingga 1972, angkasawan-angkasawan Apollo daripada Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa lepas Kebangsaan Amerika (NASA) menguji kapal angkasa yang baru dan menuju ke Bulan.

Semua ini bermula pada 25 Mei 1961, apabila Presiden John F. Kennedy mengumumkan tujuan menghantar angkasawan ke bulan sebelum penghujung dekad tersebut.

Selepas tiga minggu Angkasawan Mercury yang bernama Alan Shepard menjadi warga Amerika yang pertama di angkasa lepas, Kennedy telah mencabar kepada negara untuk menghantar angkasawan ke bulan.

Setelah lapan tahun, ribuan warga Amerika bertungkus-lumus dan telah membuahkan hasil iaitu pada 20 Julai 1969, apabila Komander Apollo 11 yang bernama Neil Armstrong telah melangkah keluar daripada Modul Bulan dan membawa langkah yang kecil di lautan Transquility, yang dipanggil satu loncatan yang besar untuk manusia

Enam misi --- Apollo Program 11, 12, 14, 15, 16 dan 17 -telah mendarat ke Bulan, mengkaji mekanik tanah, meteroid, gempa Bumi, aliran haba, julat Bulan, medan magnet dan angin suria.

Kapal Angkasa Apollo 7 dan 9 telah diuji di orbit bumi; Apollo 10 pula mengorbit bulan untuk latihan pendaratan pertama ke bulan.

Tangki oksigen untuk Apollo 13 telah meletup dan menghalang pendaratan ke bulan, tetapi dengan kaedah can-do masalah telah diselesaikan oleh kru dan misi kawalan ini digelar sebagai successful failure.

Kapal Angkasa Apollo terdiri daripada tiga bahagian :

Modul Perintah yang mana kru angkasawan makan dan tidur dalam perjalanan ke Bulan dan balik ke Bumi; Modul Perkhidmatan pula membekalkan elektrik, mengolah gerakan kuasa dan menolak balik ke bumi daripada orbit bulan dan membekalkan air ke kapal angkasa; Modul bulan pula digunakan untuk mendarat dan berlepas daripada permukaan Bulan.

Misi-misi Apollo dilancarkan melalui dua pelancar, iaitu Saturn 1B digunakan untuk misi pengorbitan bumi manakala Saturn V digunakan untuk ke bulan.

20 Julai 2009, bertempat di Masjid Jamek Datuk Haji Abdullah Sijang Port Dickson; saya telah diundang menyampaikan ceramah sempena Isra' Mikraj. Yang menariknya, saya digandingkan dengan Dato' Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha al-Haj al-Masrie; menyampaikan topik Isra' Mikraj dari 2 perspektif berbeza.

Bergambar sebelum menyampaikan ceramah

Sememangnya saya kagum dengan ketahanan fizikal beliau mengharungi cabaran ke angkasa. Walau apapun persepsi, istilah dan spekulasi yang dilemparkan kepada beliau, namun sesungguhnya tekanan 9G ketika ke angkasa (bersamaan seekor anak gajah memijak dada kita) bukanlah sesuatu yang menyeronokkan.


Friday, May 1, 2009

May Day


Para pekerja seantero dunia pastinya sedang merayakan May Day hari ini. Siapa pelopor gerakan massa membela pekerja?

Sejarah mencatatkan Peter J. McGuire sebagai salah seorang pencetus idea May Day pada tahun 1882. Beliau merupakan pengasas United Brotherhood of Carpenters and Joiners of America dan dalam masa yang sama merupakan salah seorang daripada pimpinan tertinggi American Federation of Labor.

Pada 1hb Mei 1886, sekitar 400,000 pekerja di Chicago, Illinois telah mengadakan demonstrasi besar-besaran untuk menuntut pengurangan jam kerja. Demonstrasi berlansung selama 4 hari. Pasukan polis Amerika kemudiannya menembak para peserta demonstrasi tersebut sehingga ratusan orang terbunuh dan para pemimpinnya ditangkap dan dihukum bunuh. Peristiwa ini dikenali dengan Haymarket affair (atau dikenali juga sebagai Haymarket riot atau Haymarket massacre).

Sebelum peristiwa 1 Mei tersebut, di pelbagai negara juga telah berlaku demonstrasi dan pemogokan oleh pekerja untuk menuntut perlakuan yang lebih adil dari para pemilik modal (kapitalis). Pada bulan Julai 1889, Kongres Sosialis Dunia yang diadakan di Paris menetapkan peristiwa 1hb Mei berkenaan sebagai Hari Pekerja Sedunia dan mengeluarkan resolusi bahawa “Satu tindakan besar antarabangsa harus diorganisasikan pada satu hari tertentu di mana semua pekerja (pekerja) di setiap negara pada masa yang sama menuntut agar pemerintah membuat undang-undang untuk mengurangkan jam kerja menjadi 8 jam sehari, dan juga melaksanakan semua resolusi Kongres Pekerja Antarabangsa Perancis.”

Resolusi ini mendapat sambutan yang hangat dari berbagai negara dan sejak tahun 1890, tanggal 1 Mei – yang diistilahkan dengan May Day – diperingati oleh kaum pekerja di pelbagai Negara; meskipun di sebahagian negara mendapat tekanan keras dari pemerintah masing-masing. Sejak tahun 1880, di AS dan Kanada, Hari Pekerja Sedunia disambut pada setiap hari Isnin pertama setiap September walaupun ada beberapa desakan dibuat untuk mengubahnya ke 1hb Mei.

Apa yang jelas dari sejarah Hari Pekerja Sedunia ini adalah ianya muncul dari rasa ketidakpuasan hati para pekerja setelah mereka ditindas dengan kejam oleh para pemilik modal. Setelah tidak tahan dengan mogok / demonstrasi yang sering dilakukan, maka pemerintah telah mengambil jalan tengah (kompromi) dengan melayani tuntutan yang dibuat oleh para pekerja dan seterusnya memberi ‘pengiktirafan’ kepada perjuangan mereka dengan mengisytiharkan hari cuti untuk mereka. Jalan tengah ini sedikit sebanyak mengurangkan desakan-desakan para pekerja. Kompromi sistem kapitalis barat inilah yang telah yang melahirkan Hari Pekerja Sedunia.

Namun sebagai muslim, Peter McGuire bukanlah hero sebenar kita. Perjuangan menegakkan keadilan kepada pekerja telah bergema 1400 tahun yang lalu lewat sebuah hadis qudsi :

"Tiga orang yang Aku musuhi pada hari kiamat nanti adalah orang yang telah memberikan (bai'at kepada Khalifah) kerana Aku, lalu berkhianat; orang yang menjual orang yang merdeka (untuk dijadikan hamba sahaya), lalu dia memakan harga (hasil) penjualannya; serta orang yang mengontrak pekerja kemudian pekerja tersebut menunaikan pekerjaannya, sedang orang itu tidak memberikan upahnya” (Riwayat Ahmad, Bukhari dan Ibn Majah dari Abu Hurairah)