Tuesday, October 5, 2010

Makkah Metro

Mashair Railway (juga dikenali sebagai Makkah Metro) yang bakal menghubungkan Mekah – Mina – Arafah – Muzdalifah akan menjalani ujian selama 30 hari mulai minggu ini sebagai persediaan sebelum ketibaan musim haji tahun 2010.

Menteri Perhubungan Bandar dan Desa Arab Saudi, PMekah Metroutera Mansour bin Miteb akan melakukan sendiri pemeriksaan dan ujian tersebut pada minggu ini bagi memastikan ianya benar-benar mampu memberi perkhidmatan terbaik kepada bakal-bakal haji. Perkhidmatan keretapi ini (gambar kanan) yang menelan belanja SR6.5 bilion, mampu membawa 72,000 jemaah haji sekaligus dalam tempoh 1 jam. Sebanyak 9 buah stesen telah didirikan di Arafah, Mina dan Muzdalifah yang mana setiap satunya mempunyai 3 stesen. Projek Mashair Railway ini merupakan projek kedua terbesar yang dijalankan oleh Kementerian Perhubungan Bandar dan Desa Arab Saudi selepas projek pertama iaitu pembesaran Jambatan Jamarat di Mina yang menelan belanja SR4.5 bilion

Menurut Timbalan Menteri Perhubungan Bandar dan Desa Arab Saudi, Habib Zain al-Abidine, “pada fasa pertama ini setiap landasan akan menggerakkan 10 buah keretapi yang setiap satunya sepanjang 300 meter. Setiap keretapi mampu membawa seramai 3,000 penumpang.”

Beliau menambah, pihak berkuasa belum lagi menetapkan sebarang harga tambang. “Perkara ini adalah dibawah kuasa Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri, Putera Naif, yang juga merupakan pengerusi Suruhanjaya Tertinggi Hal Ehwal Haji. Selepas baginda mengeluarkan arahan, barulah pihak kami akan membuat pengumuman”.

Melalui keretapi ini, tempoh perjalanan yang perlu diambil oleh jemaah haji bagi perjalanan dari Arafah ke Muzdalifah pada 9 Zulhijjah akan dikurangkan menjadi 5 minit sahaja dan begitu juga bagi perjalanan dari Muzdalifah ke Mina pada 10 Zulhijjah.

Menurut Zain al-Abidine lagi, perkhidmatan keretapi ini akan beroperasi sepanjang tahun. Fasa kedua pula akan menghubungkan Mashair Railway dengan Masjidil Haram di Mekah dengan pembinaan sebuah stesen berhampiran jalanraya Umm al-Qura Road. Ianya juga kelak akan dihubungkan dengan Haramain Railway yang mana ianya khas untuk menghubungkn antara Mekah – Madinah – Jeddah.

Keretapi ini akan menjalani ujian sejauh 6,000 km sepanjang bulan ini dan ujian pertama telahpun dijalankan pada hari Khamis yang lalu. Dijangkakan sebanyak 20% penumpang boleh duduk dalam keretapi ini sementara 80% penumpang lagi perlu berdiri. Keretapi ini mampu mencapai kelajuan 80 ke 120 km/jam.

Wednesday, September 1, 2010

Ramadhan di Singapura

Baru-baru ini saya diundang ke Singapura oleh Jamiyah Islamiah bagi menyampaikan ceramah sempena Sambutan Nuzul Quran di Masjid Sultan, berhampiran North Bridge Road. Sememangnya Kota Singa ini menjadi destinasi kegemaran saya khususnya pada bulan Ramadhan. Ini kerana, kehangatan sambutan Ramadhan adalah jauh lebih meriah berbanding Malaysia yang lebih menumpukan kepada keghairahan menyambut Syawal. Jika kita ke masjid-masjid di Singapura, pengisian programnya amat padat dan unik. Di sana sini diadakan majlis ilmu, tadarus al-Quran dan perhimpunan jemaah yang sangat ramai jumlahnya. Tanpa sebarang dana dari Yang Berhormat atau Jabatan Agama, masyarakat Islam di Singapura tetap aktif mengadakan program hasil kutipan derma dan sumbangan orang ramai.

Juadah

Kemeriahan Ramadhan tidak boleh dipisahkan dari kewujudan pelbagai juadah yang jarang dilihat pada bulan lain. Singapura turut tidak terkecuali. Jika berkunjung ke Geylang Road, berderetan gerai dan premis yang menawarkan barangan ibadah dan juadah Ramadhan yang lazat dan unik. Menelusuri sepanjang Geylang termasuklah ke celah-celah Onan Road dan Joo Chiat Complex, saya sempat merakamkan beberapa juadah sempena Ramadhan yang begitu istimewa di Singapura.

1. Dendeng

Antara yang paling laris pada tahun 2010 ini ialah Daging Dendeng. Kalangan peniaga menyatakan makanan ini sebenarnya berasal dari Kuala Lumpur dan baru saja diperkenalkan di Kota Singa. Rasanya memang lazat dan sesuai dimakan dengan roti


Terdapat pilihan ayam dan daging, pedas dan biasa

2. Kentang Spring

Juadah ini adalah antara juadah unik yang saya temui di Singapura pada Ramadhan tahun ini. Kebetulan pada awal Ramadhan, saya ada terbaca tentang produk Kentang Spring yang sudah mula dijual di bazar-bazar Ramadhan sekitar Lembah Klang. Tak sangka akhirnya saya dapat melihat sendiri apa yang dikatakan sebagai Kentang Spring. Sememangnya sangat unik.


3. Murtabak Singapore


Murtabak keluaran Singapura memang sudah tidak dapat dinafikan kelazatannya. Jika berkunjung ke North Bridge Road, berhampiran dengan Masjid Sultan; kita boleh melihat 2 buah restoran yang begitu masyhur sekali dengan keenakan murtabaknya iaitu Restoran Singapore Zam Zam (est. 1908) dan Restoran New Victory (est. 1910).

Zam Zam (kiri) dan New Victory


Berhadapan Masjid Sultan

Tuesday, August 24, 2010

Terapi Ramadhan 14

Terapi malam Ramadhan 14 :

Malam ini ayuh kita bermanja dengan-Nya...

Pejamkan mata...Dengar...

Sesuai dihayati pada tengah malam, pasang ear phone...Dan biarkan air mata itu mengalir.

Masih sudikah Dia menerima cinta kita?

Selamat bermanja dengan-Nya...


Monday, August 23, 2010

Terapi Ramadhan 13

Terapi malam Ramadhan 13 :

Dengar sambil merenung sebaris demi sebaris bait-bait lirik lagu ini.

Sesuai dihayati pada tengah malam, pasang ear phone...Dan biarkan air mata itu mengalir.

Selamat bermanja dengan-Nya...

Thursday, August 12, 2010

Making A Difference @ TV2

Pagi ni saya berkesempatan menonton rancangan motivasi bual bicara "Making A Difference" di saluran TV2. Rancangan ini bersiaran dari jam 6.00 - 6.30 pagi.

Apa yang menarik, hos rancangan ini merupakan tokoh yang tidak asing lagi iaitu ayahanda saya Dato' Dr. Hj. Mohd. Fadhilah Kamsah. Apa yang menarik perhatian saya berkenaan program ini :

1. 100% dalam bahasa Inggeris. Seperti yang semua maklum, 90% penceramah arus perdana di Malaysia tidak fasih berceramah dalam bahasa Inggeris secara full swing (bukan broken, rojak atau Manglish). Sebagai old timer, Dato' Fadhilah telah berjaya menjadi peneraju dalam hal ini.

2. Audien yang hadir dalam program ini terdiri dari berbilang bangsa, termasuk Melayu yang urban dan tidak bertudung. Secara peribadi, bukan mudah mendapatkan audien seperti ini dalam program-program ceramah. Sekalung tahniah kepada team penerbitan yang berjaya mencari audien yang unik sebegini.

3. Tetamu di studio adalah terdiri dari selebriti yang jarang tampil dalam rancangan bersifat ceramah. Dalam episod kali ini, aktor Jehan Miskin telah diundang bagi berkongsi pendapat berkenaan tips berbicara dengan lelaki. Saya fikir, mampukah selebriti sebegitu sudi tampil menjadi tetamu dalam program Sehiris Peria Secawan Madu, Semanis Kurma atau Halaqah? Sekali lagi sekalung tahniah kepada krew penerbitan.

Akhirnya, saya doakan program ini terus berjaya pada masa akan datang.

Monday, July 12, 2010

ESQ 165

Sejujurnya, saya pernah terlibat dalam pelatihan ESQ 165 di Grand Ballroom, Flamingo by The Lake di Ampang pada 13 - 15 Jun 2008. Sebagai ATS, saya melihat ada kebaikan dalam modul ESQ 165 ini khususnya dalam mengisi kelompongan dakwah yang ada khususnya kepada golongan ekspatriat dan konglomerat yang sering memandang sebelah mata kepada ceramah ustaz dan ustazah. Begitu ramai golongan bergelar "Tan Sri", "Dato' Seri", jurutera serta golongan profesional lain yang luluh air mata akibat diketuk pintu hati mereka melihat keagungan Allah dan pencarian diri menerusi penggunaan teknologi audio visual yang canggih.

Namun saya pernah menyuarakan pandangan kepada ESQ Malaysia agar sentiasa mengawasi modul ini agar di kemuncaknya kelak tidak menjadi pemuja (tanpa sedar) kepada pengasas ESQ. Berapa banyak modul sebelum ini yang begitu hebat, namun akhirnya tumbang dek kerana taksub dengan pengasas masing-masing. Saya melihat mereka begitu menerima nasihat ini.

Untuk sekian lama, saya tidak lagi mengikut pelatihan ESQ 165 dek kerana hambatan tugas. Sekadar memerhati dari jauh, saya melihat perkembangan mendadak ESQ 165. Hasil dari alumni dan bekas pesertanya yang terdiri dari tokoh pimpinan negara serta editor-editor akhbar, ESQ berjaya mendapat liputan yang amat luar biasa. Sementelah lagi, ada akhbar harian yang setiap hari memaparkan iklan serta liputan aktiviti ESQ 165.

Perkembangan ini benar-benar menarik perhatian saya. Ini kerana, sebagai ahli kepada Muslim Trainers and Motivators Association of Malaysia (TAMRIN) saya bercampur dan bergaul dengan ramai penceramah motivasi dan jurulatih kecerdasan yang 100% Made in Malaysia. Pendedahan luar biasa kepada modul yang "Made In Indonesia" pastilah sedikit sebanyak menimbulkan polemik.

Harapan saya, pihak ESQ 165 Malaysia perlu banyak bersabar dan tidak melatah. Saya percaya, hasil pelatihan selama ini, pastilah emosi kita telah berjaya dijinakkan seadanya.

ESQ 165 vs Modul Made in Malaysia

Sekarang, modul serta pendekatan kursus motivasi telah berkembang pesat. Pelbagai pendekatan yang kreatif, pelik dan kadang-kadang melucukan boleh kita temui setiap hari khususnya dalam iklan di dada-dada akhbar tabloid.

Namun kadang-kadang, ada antaranya yang menimbulkan persoalan di benak saya :

1. Penggunaan secara berleluasa gelaran "Dato", "Prof.", "Dr." oleh segelintir penceramah. Betul ker ada semua gelaran tu? Bukankah bila dah keluar dari universiti, secara automatik gelaran professorship seseorang itu akan ditarik balik? Jika dalam hal sebegini tidak boleh jujur, lalu kejujuran apa yang boleh diharapkan dari kata-katanya? Belum dikira soal penggunaan gelaran "Dr." yang diambil dari entah berantah...

2. Modul ceramah yang pelik, seperti mampu menyingkap masa depan dan potensi seseorang hanya berdasarkan tarikh tertentu, kedudukan tahi lalat, jenis tulisan, jenis darah, style tandatangan atau warna kegemaran. Selepas ini tidak mustahil akan muncul pula modul menggunakan sotong kurita, kucing Siam, ikan laga atau macam-macam jenis binatang "psikik" lain untuk menyingkap potensi masa depan kita.

3. Modul ceramah yang ekstrim, seperti menanamkan rasa cinta melampau dan luar biasa kepada harta dan wang. Ada kalangan peserta bercerita mereka diminta menjadikan kalimat sayang kepada wang sebagai "zikir" harian demi untuk menjadikan duit mudah datang kepada kita.

Mungkin selepas ESQ 165, jabatan fatwa tertentu akan melihat pula kepada pelatihan-pelatihan yang pelik serta ekstrim ini untuk difatwakan...

Monday, May 24, 2010

Cabaran Dakwah

Hari ini saya berpeluang menemui mahasiswa dan mahasiswi Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) dalam program Anjung Munakahat. Selesai majlis, ada peserta yang bertanya tentang apakah antara cabaran hebat menjadi pendakwah dan berdakwah? Santai saya menjawab, "antaranya, kena saman polis"....Ramai yang ketawa.

Dan ternyata, hari ini mulut saya masin. Padan muka...
Surat cinta bertarikh 24 Mei 2010, jam 4.48 petang