Hari ini saya kehilangan seorang sahabat, rakan sekerja dan saudara yang begitu rapat dengan saya…Beliau adalah imam, tukang masak, tukang sembelih, kawan bersembang…Allahyarham Haji Mohd. Sabri bin Abd. Aziz, Pegawai Hal-Ehwal Islam Kanan S22 (Unit Penerbitan dan Multimedia) di Bahagian Dakwah Jabatan Agama Islam Pahang; telah kembali ke rahmatullah pada pagi tadi tatkala sedang menjalankan ibadah korban di Kuantan.
Saya berada di Kuala Lumpur tatkala menerima pesanan Black Berry Messenger daripada al-Fadhil Tuan Haji Bunyamin, Qadhi Jengka berkenaan pemergian Allahyarham. Terkejut…tergamam…
Kali terakhir saya menelefon arwah adalah pada Khamis, 11 November 2010 jam 6.25 pm. Ketika itu saya menelefonnya kerana ingin menawarkan diri menulis buku terbitan khas sempena Ma’al Hijrah tahun ini. Arwah tersangat gembira dengan tawaran saya tersebut memandangkan dia sendiri sudah buntu mencari idea bahan penulisan. Sejak itu saya menulis siang dan malam sebuah buku yang berkaitan dengan “Struktur Kewangan Zaman Rasulullah s.a.w” yang setakat malam ini mencecah 45 halaman.
Baru hari Isnin yang lalu (15 November) saya ke pejabat untuk berbincang dengan arwah berkenaan perkembangan buku terbitan khas tersebut beserta cadangan grafik Taqwim sempena Ma’al Hijrah yang bakal tiba. Saya bergurau dengan mencadangkan agar taqwim tahun hadapan diletakkan gambar-gambar kereta jenazah milik Jabatan Agama Islam Pahang agar lebih menarik.
Arwah dan saya memang dah lama kenal iaitu semenjak saya bersekolah menengah lagi. Tatkala beliau menjadi Imam di Masjid Makmur, Batu 10 Kuantan; saya sering diundang berceramah di sana. Begitu juga di surau berhampiran rumah beliau, saya sering diundang menyampaikan syarahan.
Ternyata malam ini sukar saya melelapkan mata. Moga Allah memberikan kekuatan kepada keluarga yang telah arwah tinggalkan…
al-Faatihah…