Wednesday, October 13, 2010

Gabenor Mekah Arah Premis Guna Bahasa Arab

Para pemilik hotel, restoran, kedai dan dewan perkahwinan di Mekah diberi tempoh selama 6 bulan untuk menukar nama-nama asing premis mereka kepada bahasa Arab.gabenor Gabenor Mekah, Putera Khaled al-Faisal mengeluarkan arahan ini pada hari Sabtu lalu setelah membuat lawatan mengejut ke sekitar premis perniagaan di Mekah. “Saya telah datang ke dewan ini buat kali kedua. Saya terkejut kerana namanya masih kekal dengan nama Marbaya (Marbella). Mengapa tidak menggunakan nama Arab? Kita tinggal di sebuah kota di mana al-Quran diturunkan di sini dalam bahasa Arab. Rasulullah juga dilahirkan di kota ini sebagai seorang Arab. Jadi, agak janggal apabila kita melihat ada premis yang wujud di Mekah namun tidak mahu menggunakan bahasa Arab,” ujar beliau.

Putera Khaled mengingatkan agar setiap pihak berkuasa tempatan mengambil langkah tegas bagi memastikan setiap premis yang berada dalam wilayah Kota Mekah menggantikan nama asing dengan menggunakan bahasa Arab sepenuhnya pada nama premis dan juga iklan-iklan mereka.

“Mereka yang masih tetap ingin menggunakan bahasa asing, boleh melakukan demikian dengan cara menulis nama bahasa asing tersebut menggunakan tulisan lebih kecil dan diletakkan di bawah kalimat Arab,” Beliau juga mencadangkan agar mana-mana premis yang melanggar peraturan ini hendaklah diberi hukuman berat.

Putera Khaled mengeluarkan kenyataan ini semasa merasmikan forum kali ketiga anjuran Kelab Sastera dan Kebudayaan di Mekah.

Beliau merakamkan penghargaan kepada kelab ini atas daya usaha mempromosikan kebudayaan dan kesenian kota suci Mekah. “Kebudayaan akan tetap menjadi intipati pembangunan kota Mekah untuk tempoh 10 tahun mendatang,” ikrar beliau.

No comments:

Post a Comment