Wednesday, October 13, 2010

Gabenor Mekah Arah Premis Guna Bahasa Arab

Para pemilik hotel, restoran, kedai dan dewan perkahwinan di Mekah diberi tempoh selama 6 bulan untuk menukar nama-nama asing premis mereka kepada bahasa Arab.gabenor Gabenor Mekah, Putera Khaled al-Faisal mengeluarkan arahan ini pada hari Sabtu lalu setelah membuat lawatan mengejut ke sekitar premis perniagaan di Mekah. “Saya telah datang ke dewan ini buat kali kedua. Saya terkejut kerana namanya masih kekal dengan nama Marbaya (Marbella). Mengapa tidak menggunakan nama Arab? Kita tinggal di sebuah kota di mana al-Quran diturunkan di sini dalam bahasa Arab. Rasulullah juga dilahirkan di kota ini sebagai seorang Arab. Jadi, agak janggal apabila kita melihat ada premis yang wujud di Mekah namun tidak mahu menggunakan bahasa Arab,” ujar beliau.

Putera Khaled mengingatkan agar setiap pihak berkuasa tempatan mengambil langkah tegas bagi memastikan setiap premis yang berada dalam wilayah Kota Mekah menggantikan nama asing dengan menggunakan bahasa Arab sepenuhnya pada nama premis dan juga iklan-iklan mereka.

“Mereka yang masih tetap ingin menggunakan bahasa asing, boleh melakukan demikian dengan cara menulis nama bahasa asing tersebut menggunakan tulisan lebih kecil dan diletakkan di bawah kalimat Arab,” Beliau juga mencadangkan agar mana-mana premis yang melanggar peraturan ini hendaklah diberi hukuman berat.

Putera Khaled mengeluarkan kenyataan ini semasa merasmikan forum kali ketiga anjuran Kelab Sastera dan Kebudayaan di Mekah.

Beliau merakamkan penghargaan kepada kelab ini atas daya usaha mempromosikan kebudayaan dan kesenian kota suci Mekah. “Kebudayaan akan tetap menjadi intipati pembangunan kota Mekah untuk tempoh 10 tahun mendatang,” ikrar beliau.

Tuesday, October 5, 2010

Makkah Metro

Mashair Railway (juga dikenali sebagai Makkah Metro) yang bakal menghubungkan Mekah – Mina – Arafah – Muzdalifah akan menjalani ujian selama 30 hari mulai minggu ini sebagai persediaan sebelum ketibaan musim haji tahun 2010.

Menteri Perhubungan Bandar dan Desa Arab Saudi, PMekah Metroutera Mansour bin Miteb akan melakukan sendiri pemeriksaan dan ujian tersebut pada minggu ini bagi memastikan ianya benar-benar mampu memberi perkhidmatan terbaik kepada bakal-bakal haji. Perkhidmatan keretapi ini (gambar kanan) yang menelan belanja SR6.5 bilion, mampu membawa 72,000 jemaah haji sekaligus dalam tempoh 1 jam. Sebanyak 9 buah stesen telah didirikan di Arafah, Mina dan Muzdalifah yang mana setiap satunya mempunyai 3 stesen. Projek Mashair Railway ini merupakan projek kedua terbesar yang dijalankan oleh Kementerian Perhubungan Bandar dan Desa Arab Saudi selepas projek pertama iaitu pembesaran Jambatan Jamarat di Mina yang menelan belanja SR4.5 bilion

Menurut Timbalan Menteri Perhubungan Bandar dan Desa Arab Saudi, Habib Zain al-Abidine, “pada fasa pertama ini setiap landasan akan menggerakkan 10 buah keretapi yang setiap satunya sepanjang 300 meter. Setiap keretapi mampu membawa seramai 3,000 penumpang.”

Beliau menambah, pihak berkuasa belum lagi menetapkan sebarang harga tambang. “Perkara ini adalah dibawah kuasa Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri, Putera Naif, yang juga merupakan pengerusi Suruhanjaya Tertinggi Hal Ehwal Haji. Selepas baginda mengeluarkan arahan, barulah pihak kami akan membuat pengumuman”.

Melalui keretapi ini, tempoh perjalanan yang perlu diambil oleh jemaah haji bagi perjalanan dari Arafah ke Muzdalifah pada 9 Zulhijjah akan dikurangkan menjadi 5 minit sahaja dan begitu juga bagi perjalanan dari Muzdalifah ke Mina pada 10 Zulhijjah.

Menurut Zain al-Abidine lagi, perkhidmatan keretapi ini akan beroperasi sepanjang tahun. Fasa kedua pula akan menghubungkan Mashair Railway dengan Masjidil Haram di Mekah dengan pembinaan sebuah stesen berhampiran jalanraya Umm al-Qura Road. Ianya juga kelak akan dihubungkan dengan Haramain Railway yang mana ianya khas untuk menghubungkn antara Mekah – Madinah – Jeddah.

Keretapi ini akan menjalani ujian sejauh 6,000 km sepanjang bulan ini dan ujian pertama telahpun dijalankan pada hari Khamis yang lalu. Dijangkakan sebanyak 20% penumpang boleh duduk dalam keretapi ini sementara 80% penumpang lagi perlu berdiri. Keretapi ini mampu mencapai kelajuan 80 ke 120 km/jam.