Wednesday, September 1, 2010

Ramadhan di Singapura

Baru-baru ini saya diundang ke Singapura oleh Jamiyah Islamiah bagi menyampaikan ceramah sempena Sambutan Nuzul Quran di Masjid Sultan, berhampiran North Bridge Road. Sememangnya Kota Singa ini menjadi destinasi kegemaran saya khususnya pada bulan Ramadhan. Ini kerana, kehangatan sambutan Ramadhan adalah jauh lebih meriah berbanding Malaysia yang lebih menumpukan kepada keghairahan menyambut Syawal. Jika kita ke masjid-masjid di Singapura, pengisian programnya amat padat dan unik. Di sana sini diadakan majlis ilmu, tadarus al-Quran dan perhimpunan jemaah yang sangat ramai jumlahnya. Tanpa sebarang dana dari Yang Berhormat atau Jabatan Agama, masyarakat Islam di Singapura tetap aktif mengadakan program hasil kutipan derma dan sumbangan orang ramai.

Juadah

Kemeriahan Ramadhan tidak boleh dipisahkan dari kewujudan pelbagai juadah yang jarang dilihat pada bulan lain. Singapura turut tidak terkecuali. Jika berkunjung ke Geylang Road, berderetan gerai dan premis yang menawarkan barangan ibadah dan juadah Ramadhan yang lazat dan unik. Menelusuri sepanjang Geylang termasuklah ke celah-celah Onan Road dan Joo Chiat Complex, saya sempat merakamkan beberapa juadah sempena Ramadhan yang begitu istimewa di Singapura.

1. Dendeng

Antara yang paling laris pada tahun 2010 ini ialah Daging Dendeng. Kalangan peniaga menyatakan makanan ini sebenarnya berasal dari Kuala Lumpur dan baru saja diperkenalkan di Kota Singa. Rasanya memang lazat dan sesuai dimakan dengan roti


Terdapat pilihan ayam dan daging, pedas dan biasa

2. Kentang Spring

Juadah ini adalah antara juadah unik yang saya temui di Singapura pada Ramadhan tahun ini. Kebetulan pada awal Ramadhan, saya ada terbaca tentang produk Kentang Spring yang sudah mula dijual di bazar-bazar Ramadhan sekitar Lembah Klang. Tak sangka akhirnya saya dapat melihat sendiri apa yang dikatakan sebagai Kentang Spring. Sememangnya sangat unik.


3. Murtabak Singapore


Murtabak keluaran Singapura memang sudah tidak dapat dinafikan kelazatannya. Jika berkunjung ke North Bridge Road, berhampiran dengan Masjid Sultan; kita boleh melihat 2 buah restoran yang begitu masyhur sekali dengan keenakan murtabaknya iaitu Restoran Singapore Zam Zam (est. 1908) dan Restoran New Victory (est. 1910).

Zam Zam (kiri) dan New Victory


Berhadapan Masjid Sultan