Monday, July 12, 2010

ESQ 165

Sejujurnya, saya pernah terlibat dalam pelatihan ESQ 165 di Grand Ballroom, Flamingo by The Lake di Ampang pada 13 - 15 Jun 2008. Sebagai ATS, saya melihat ada kebaikan dalam modul ESQ 165 ini khususnya dalam mengisi kelompongan dakwah yang ada khususnya kepada golongan ekspatriat dan konglomerat yang sering memandang sebelah mata kepada ceramah ustaz dan ustazah. Begitu ramai golongan bergelar "Tan Sri", "Dato' Seri", jurutera serta golongan profesional lain yang luluh air mata akibat diketuk pintu hati mereka melihat keagungan Allah dan pencarian diri menerusi penggunaan teknologi audio visual yang canggih.

Namun saya pernah menyuarakan pandangan kepada ESQ Malaysia agar sentiasa mengawasi modul ini agar di kemuncaknya kelak tidak menjadi pemuja (tanpa sedar) kepada pengasas ESQ. Berapa banyak modul sebelum ini yang begitu hebat, namun akhirnya tumbang dek kerana taksub dengan pengasas masing-masing. Saya melihat mereka begitu menerima nasihat ini.

Untuk sekian lama, saya tidak lagi mengikut pelatihan ESQ 165 dek kerana hambatan tugas. Sekadar memerhati dari jauh, saya melihat perkembangan mendadak ESQ 165. Hasil dari alumni dan bekas pesertanya yang terdiri dari tokoh pimpinan negara serta editor-editor akhbar, ESQ berjaya mendapat liputan yang amat luar biasa. Sementelah lagi, ada akhbar harian yang setiap hari memaparkan iklan serta liputan aktiviti ESQ 165.

Perkembangan ini benar-benar menarik perhatian saya. Ini kerana, sebagai ahli kepada Muslim Trainers and Motivators Association of Malaysia (TAMRIN) saya bercampur dan bergaul dengan ramai penceramah motivasi dan jurulatih kecerdasan yang 100% Made in Malaysia. Pendedahan luar biasa kepada modul yang "Made In Indonesia" pastilah sedikit sebanyak menimbulkan polemik.

Harapan saya, pihak ESQ 165 Malaysia perlu banyak bersabar dan tidak melatah. Saya percaya, hasil pelatihan selama ini, pastilah emosi kita telah berjaya dijinakkan seadanya.

ESQ 165 vs Modul Made in Malaysia

Sekarang, modul serta pendekatan kursus motivasi telah berkembang pesat. Pelbagai pendekatan yang kreatif, pelik dan kadang-kadang melucukan boleh kita temui setiap hari khususnya dalam iklan di dada-dada akhbar tabloid.

Namun kadang-kadang, ada antaranya yang menimbulkan persoalan di benak saya :

1. Penggunaan secara berleluasa gelaran "Dato", "Prof.", "Dr." oleh segelintir penceramah. Betul ker ada semua gelaran tu? Bukankah bila dah keluar dari universiti, secara automatik gelaran professorship seseorang itu akan ditarik balik? Jika dalam hal sebegini tidak boleh jujur, lalu kejujuran apa yang boleh diharapkan dari kata-katanya? Belum dikira soal penggunaan gelaran "Dr." yang diambil dari entah berantah...

2. Modul ceramah yang pelik, seperti mampu menyingkap masa depan dan potensi seseorang hanya berdasarkan tarikh tertentu, kedudukan tahi lalat, jenis tulisan, jenis darah, style tandatangan atau warna kegemaran. Selepas ini tidak mustahil akan muncul pula modul menggunakan sotong kurita, kucing Siam, ikan laga atau macam-macam jenis binatang "psikik" lain untuk menyingkap potensi masa depan kita.

3. Modul ceramah yang ekstrim, seperti menanamkan rasa cinta melampau dan luar biasa kepada harta dan wang. Ada kalangan peserta bercerita mereka diminta menjadikan kalimat sayang kepada wang sebagai "zikir" harian demi untuk menjadikan duit mudah datang kepada kita.

Mungkin selepas ESQ 165, jabatan fatwa tertentu akan melihat pula kepada pelatihan-pelatihan yang pelik serta ekstrim ini untuk difatwakan...