Friday, May 1, 2009

May Day


Para pekerja seantero dunia pastinya sedang merayakan May Day hari ini. Siapa pelopor gerakan massa membela pekerja?

Sejarah mencatatkan Peter J. McGuire sebagai salah seorang pencetus idea May Day pada tahun 1882. Beliau merupakan pengasas United Brotherhood of Carpenters and Joiners of America dan dalam masa yang sama merupakan salah seorang daripada pimpinan tertinggi American Federation of Labor.

Pada 1hb Mei 1886, sekitar 400,000 pekerja di Chicago, Illinois telah mengadakan demonstrasi besar-besaran untuk menuntut pengurangan jam kerja. Demonstrasi berlansung selama 4 hari. Pasukan polis Amerika kemudiannya menembak para peserta demonstrasi tersebut sehingga ratusan orang terbunuh dan para pemimpinnya ditangkap dan dihukum bunuh. Peristiwa ini dikenali dengan Haymarket affair (atau dikenali juga sebagai Haymarket riot atau Haymarket massacre).

Sebelum peristiwa 1 Mei tersebut, di pelbagai negara juga telah berlaku demonstrasi dan pemogokan oleh pekerja untuk menuntut perlakuan yang lebih adil dari para pemilik modal (kapitalis). Pada bulan Julai 1889, Kongres Sosialis Dunia yang diadakan di Paris menetapkan peristiwa 1hb Mei berkenaan sebagai Hari Pekerja Sedunia dan mengeluarkan resolusi bahawa “Satu tindakan besar antarabangsa harus diorganisasikan pada satu hari tertentu di mana semua pekerja (pekerja) di setiap negara pada masa yang sama menuntut agar pemerintah membuat undang-undang untuk mengurangkan jam kerja menjadi 8 jam sehari, dan juga melaksanakan semua resolusi Kongres Pekerja Antarabangsa Perancis.”

Resolusi ini mendapat sambutan yang hangat dari berbagai negara dan sejak tahun 1890, tanggal 1 Mei – yang diistilahkan dengan May Day – diperingati oleh kaum pekerja di pelbagai Negara; meskipun di sebahagian negara mendapat tekanan keras dari pemerintah masing-masing. Sejak tahun 1880, di AS dan Kanada, Hari Pekerja Sedunia disambut pada setiap hari Isnin pertama setiap September walaupun ada beberapa desakan dibuat untuk mengubahnya ke 1hb Mei.

Apa yang jelas dari sejarah Hari Pekerja Sedunia ini adalah ianya muncul dari rasa ketidakpuasan hati para pekerja setelah mereka ditindas dengan kejam oleh para pemilik modal. Setelah tidak tahan dengan mogok / demonstrasi yang sering dilakukan, maka pemerintah telah mengambil jalan tengah (kompromi) dengan melayani tuntutan yang dibuat oleh para pekerja dan seterusnya memberi ‘pengiktirafan’ kepada perjuangan mereka dengan mengisytiharkan hari cuti untuk mereka. Jalan tengah ini sedikit sebanyak mengurangkan desakan-desakan para pekerja. Kompromi sistem kapitalis barat inilah yang telah yang melahirkan Hari Pekerja Sedunia.

Namun sebagai muslim, Peter McGuire bukanlah hero sebenar kita. Perjuangan menegakkan keadilan kepada pekerja telah bergema 1400 tahun yang lalu lewat sebuah hadis qudsi :

"Tiga orang yang Aku musuhi pada hari kiamat nanti adalah orang yang telah memberikan (bai'at kepada Khalifah) kerana Aku, lalu berkhianat; orang yang menjual orang yang merdeka (untuk dijadikan hamba sahaya), lalu dia memakan harga (hasil) penjualannya; serta orang yang mengontrak pekerja kemudian pekerja tersebut menunaikan pekerjaannya, sedang orang itu tidak memberikan upahnya” (Riwayat Ahmad, Bukhari dan Ibn Majah dari Abu Hurairah)